Jelajah Orang Johor Bawa Pencapaian Kerajaan Negeri Kepada Rakyat – Azalina

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Program Jelajah Orang Johor menjadi medium untuk membawa pencapaian kerajaan negeri supaya diuar-uarkan kepada rakyat.

Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, banyak manfaat yang telah diperoleh oleh rakyat Johor sepanjang empat tahun di bawah pemerintahan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Johor berhadapan dengan satu kejayaan yang begitu hebat dalam jangka masa empat tahun di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Sebagai anak Johor yang ada nombor kad pengenalan 01 … saya melihat hari ini setiap anak Johor mendapat banyak manfaat daripada kerajaan negeri.

“Itu sebabnya program Jelajah Orang Johor ini diwujudkan supaya kita dapat mendengar suara sebenar daripada kerajaan negeri yang telah berjaya membawa kejayaan kepada negeri ini dan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran video yang dimuatnaik menerusi laman Facebooknya.

Dalam pada itu, Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Reformasi dan Undang-Undang Institusi) berharap agar keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung pada Julai akan memihak kepada Barisan Nasional (BN).

“Insya-Allah pada bulan Julai nanti keputusan pilihan raya akan memihak kepada kita. Kita kekalkan YB Aznan Tamin dan YB Fauziah Misri sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kita di Tanjung Surat dan Penawar,” katanya lagi.

Untuk rekod, Program Jelajah Orang Johor menjadi platform hebahan dan penyampaian tentang setiap dasar dan inisiatif Kerajaan Negeri, di samping mendapat maklum balas secara terus demi memastikan pembangunan Johor bersifat menyeluruh dan inklusif.

Malah program JOJ mengetengahkan pelbagai usaha Kerajaan Negeri dalam membantu meringankan beban rakyat dan memastikan kehidupan yang lebih sejahtera.

Antaranya, Jualan Kasih yang mendapat peruntukan keseluruhan sebanyak RM6.6 juta, program baik pulih atau bina rumah baharu yang diperuntukkan sebanyak RM27.7 juta, Program Dapur Kasih yang diperuntukkan RM3.9 juta, Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat berjumlah RM243 juta kepada 231,000 penerima, Bantuan Majlis Agama Islam Negeri Johor sebanyak RM212 juta kepada 209,000 asnaf serta Bantuan Bilik Guru yang diperuntukkan RM5.97 juta kepada 1,194 sekolah seluruh Johor.

Setiap program dan inisiatif ini bukan bersifat ‘one-off’ dan akan diteruskan ke seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) lain di negeri Johor. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO