MUDA Usah Main Sentimen Politik, Fakta Buktikan Peluang Pekerjaan Di Johor Meningkat
KUALA LUMPUR, 10 Jun – Ketua Penerangan Pemuda UMNO Johor, Ts Mohd Syes Mohamed menafikan dakwaan parti MUDA kononnya Kerajaan Negeri gagal menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat selepas empat tahun mentadbir.
Beliau berkata dakwaan tersebut tidak berpijak kepada fakta kerana rekod menunjukkan Johor terus mencipta pekerjaan baharu secara konsisten.
Menurutnya, rekod menunjukkan Johor terus mencipta peluang pekerjaan baharu secara konsisten, dengan 15,226 pekerjaan direkodkan pada 2022, 17,814 (2023), 17,949 (2024), 24,584 (2025), iaitu peningkatan sebanyak 37 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Angka ini membuktikan bahawa agenda pekerjaan di Johor bukan cerita bermusim menjelang PRN, tetapi hasil gerak kerja berterusan sejak BN diberi mandat mentadbir negeri.
“Maka, tuduhan MUDA bahawa BN Johor gagal menyediakan peluang pekerjaan adalah tidak berasas, tidak matang dan sengaja menafikan usaha sebenar yang sedang berlaku di lapangan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Selain itu katanya penciptaan pekerjaan baharu, inisiatif padanan kerja turut berjalan aktif melalui program-program Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC).
Katanya bagi tempoh Januari hingga Mei 2026 sahaja, sekitar 8,500 calon telah berjaya ditempatkan dalam pekerjaan melalui inisiatif padanan kerja oleh JTDC.
“Pemuda BN Johor tidak menafikan masih ada cabaran seperti padanan kemahiran, gaji permulaan dan kebolehpasaran anak muda.
“Namun cabaran ini sedang ditangani melalui pelaburan baharu, kerjasama industri, pembangunan bakat dan inisiatif pekerjaan yang lebih tersusun.
“MUDA sepatutnya membantu anak muda Johor mengakses peluang yang tersedia, bukan menjadikan isu pekerjaan sebagai modal politik. Johor perlukan penyelesaian berasaskan fakta, bukan persepsi kosong menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN),” ujar beliau. – UMNO Online
