Johor Teruskan Bantuan Bakul Kasih Johor, Manfaat Lebih 550,000 Keluarga
JOHOR BAHRU, 9 Jun – Kerajaan Negeri Johor meneruskan usaha membantu rakyat berdepan kos sara hidup melalui pelaksanaan Bantuan Bakul Kasih Johor (BKJ) dengan peruntukan melebihi RM30 juta, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 550,000 keluarga di semua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata inisiatif itu merupakan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada menerima bantuan, khususnya golongan berpendapatan rendah serta kumpulan rentan.

Beliau berkata bantuan tersebut turut disampaikan dalam beberapa program komuniti termasuk Majlis Sambutan Hari Ibu Bapa di Johor Jaya serta ketika merasmikan Dewan Kuil Sri Maha Muniswarar di Desa Cemerlang, Ulu Tiram.
“Pelaksanaan Bantuan Bakul Kasih Johor adalah komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada menerima bantuan dan sokongan sewajarnya, khususnya golongan berpendapatan rendah, warga emas, ibu tunggal serta keluarga yang berdepan tekanan kos sara hidup tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Tambah beliau, kerajaan negeri akan terus memperkukuh agenda kesejahteraan rakyat bagi memastikan masyarakat di Johor menikmati kehidupan yang lebih sejahtera, inklusif dan makmur.
“Kerajaan Negeri akan terus komited memperkukuh agenda kesejahteraan rakyat melalui pelbagai inisiatif demi memastikan Bangsa Johor hidup dalam keadaan yang lebih sejahtera, inklusif dan makmur,” ujarnya. – UMNO Online
