Ketua Menteri Melaka Hadiri Sesi UNIMEL, Santuni Rakyat di Taman Botanikal
MELAKA, 9 Jun – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, meneruskan agenda harian beliau pada pagi ini dengan mengadakan lawatan tidak rasmi ke Kedai Pak Zahir di Taman Botanikal Melaka.
Lawatan santai tersebut menjadi ruang bagi beliau mendekati rakyat serta memahami kehidupan masyarakat setempat secara lebih dekat, selaras dengan pendekatan kepimpinan yang menekankan hubungan terus dengan rakyat.

“Sesekali berada di lokasi rekreasi sebegini mengingatkan kita bahawa kepimpinan perlu sentiasa dekat dengan rakyat, memahami kehidupan mereka secara lebih nyata dan mendalam,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Selepas sesi tersebut, beliau meneruskan tugas rasmi di Seri Negeri dengan menghadiri sesi pembentangan projek khas oleh Universiti Islam Melaka (UNIMEL). Sesi berkenaan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh peranan pendidikan tinggi sebagai pemangkin pembangunan negeri yang berilmu, berdaya saing dan berdaya tahan.
“Perbincangan ini penting dalam memperkukuh peranan pendidikan tinggi sebagai pemangkin pembangunan negeri yang berilmu, berdaya saing dan berdaya tahan,” katanya.
Menurut beliau, kerjasama strategik bersama institusi pengajian tinggi seperti UNIMEL penting dalam memastikan pembangunan Melaka terus bergerak seiring dengan keperluan semasa serta memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Beliau turut menzahirkan harapan agar segala urusan dan perancangan dipermudahkan serta diberkati demi kesejahteraan negeri Melaka. – UMNO Online
