Mengapa Duduk Lagi Semeja Andai Sudah Hilang Rasa Hormat? – Fadil
KUALA LUMPUR, 9 Jun – Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Mohamad Fadil Md Zin berpandangan bahawa tiada lagi keperluan untuk bekerjasama sekiranya garisan merah yang melibatkan isu agama, bangsa dan institusi Raja-raja Melayu telah dilanggar.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seremban berkata, UMNO bukan sebuah parti yang akan berdiam diri sekiranya isu-isu sensitif melibatkan kepentingan asas tersebut disentuh.
“Sepatutnya Pakatan Harapan (PH) gembira kerana hasrat mereka untuk bertanding semua 56 DUN di Johor dan semua 36 DUN di Negeri Sembilan serta laungan mereka yang bergema di Stadium Paroi ‘tolak UMNO’ telah menjadi kenyataan.
“Mengapa perlu lagi duduk semeja andai sudah hilang rasa hormat menghormati?
“Mengapa perlu lagi duduk semeja andai garisan merah telah dilanggar UMNO bukan sebuah parti yang akan bisu seandainya agama, bangsa dan raja-raja disentuh? Bincang sudah, amaran sudah, tindakan sudah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Mengulas lanjut kat Fadil, kini adalah masa untuk kembali ke gelanggang pilihan raya bagi memberi ruang kepada rakyat membuat keputusan semula untuk memilih kerajaan baharu.
“Kini tiba masanya untuk kita turun gelanggang perang pilihan raya bagi rakyat tentukan semula pilihan yang mampu memberi kestabilan dan kemakmuran di samping ekonomi yang mampan. Sepatutnya kamu bergembira dan celebrate apabila UMNO Negeri Sembilan menarik sokongan bukan meroyan setiap hari kerana ini adalah kehendak kamu.
“Ketika PH umum hendak bertanding 36 DUN di Negeri Sembilan langsung tiada pimpinan tertinggi BN meroyan di media sosial tetapi sebaliknya pula berlaku apabila BN umumkan akan bertanding 36 DUN.
“Mungkin ini kerana sudah semakin pasti untuk rakyat mengembalikan Pakatan Harapan kembali ke jalanan. Sepatutnya ini adalah masa untuk Pakatan Harapan celebrate kerana hasrat telah tercapai,” ujar beliau. – UMNO Online
