Ruzaini Ingatkan Pas Perlis Jangan Main Politik ‘Dua Muka’

KANGAR, 9 Jun – Pas di Perlis didakwa mengamalkan pendekatan politik tidak konsisten apabila dikatakan menolak pengiktirafan terhadap kerajaan negeri, namun dalam masa sama masih menerima pelbagai jawatan dalam pentadbiran negeri.

Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Ruzaini Rais berkata, tindakan tersebut memperlihatkan wujud percanggahan jelas antara pendirian politik yang diumumkan dan tindakan sebenar di peringkat pentadbiran.

“Jika benar Pas tidak mengiktiraf kerajaan negeri hari ini, mengapa masih menerima pelbagai jawatan dalam struktur pentadbiran yang sama? Ini menimbulkan kekeliruan kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal terbabit.

Menurut beliau, Pas sebelum ini dilihat menolak jawatan Exco atas alasan prinsip serta dakwaan tidak bersetuju dengan kerajaan negeri diterajui Bersatu, namun pada masa sama masih memegang beberapa jawatan lain termasuk Setiausaha Akhbar, Penyelaras DUN serta penglibatan dalam Majlis Perbandaran Kangar dan MPKK.

Ruzaini berkata, keadaan itu menyebabkan rakyat sukar memahami pendirian sebenar parti tersebut sama ada benar-benar menolak kerajaan negeri atau sekadar memilih kedudukan tertentu dalam pentadbiran.

“Sikap menolak satu jawatan atas alasan prinsip tetapi menerima jawatan lain dalam kerajaan yang sama memperlihatkan seolah-olah ada percanggahan ketara dalam pendirian,” katanya.

Beliau turut mendakwa bahawa tindakan tersebut memberi gambaran politik yang lebih berfokus kepada kedudukan dan kelebihan tertentu berbanding agenda membela rakyat.

“Rakyat tidak mengundi untuk melihat perebutan kuasa berterusan. Mereka mahu kerajaan bekerja, bukan berpolitik sepanjang masa,” katanya.

Menurutnya lagi, tumpuan berlebihan kepada isu politik boleh menjejaskan usaha pembangunan negeri termasuk menarik pelaburan dan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Perlis tidak akan maju jika pemimpin lebih sibuk dengan soal kedudukan politik berbanding merancang masa depan negeri,” tegas beliau.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak supaya menghentikan perbalahan politik berpanjangan dan kembali memberi fokus kepada pembangunan negeri serta kebajikan rakyat.

“Sudah tiba masanya semua pihak berhenti bermain politik berlebihan dan memberi tumpuan kepada agenda membela rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO