Parlimen Batu Perlukan Wakil Rakyat Berani Suarakan Kepentingan Rakyat
KUALA LUMPUR, 9 Jun – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Batu mengusulkan agar kepimpinan UMNO Bahagian Batu dipertimbangkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Batu dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ketuanya, Mohamad Zulfadli Amiruddin berkata, calon daripada kalangan anak tempatan yang mempunyai pengalaman organisasi serta hubungan rapat dengan masyarakat dilihat sebagai formula terbaik bagi mengembalikan pengaruh BN di kawasan tersebut.
Beliau berkata, kepimpinan UMNO Bahagian Batu telah membuktikan keupayaan dalam memperkukuhkan jentera parti selain aktif membantu masyarakat melalui jaringan kerjasama bersama pelbagai agensi kerajaan dan badan berkaitan.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa Parlimen Batu memerlukan wakil rakyat yang berani menyuarakan kepentingan rakyat terutama dalam berdepan cabaran kos sara hidup, peluang pekerjaan dan pembangunan komuniti.
“Parlimen Batu memerlukan seorang pemimpin yang memahami isu setempat, mempunyai hubungan erat dengan rakyat dan mampu membawa suara masyarakat ke peringkat pembuat dasar,” katanya.
Menurutnya lagi, usul tersebut telah dibentangkan semasa Mesyuarat Perwakilan Tahunan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Batu 2026 yang berlangsung Sabtu lalu.
Zulfadli turut menyatakan Parlimen Batu memerlukan wakil rakyat yang berani bersuara, tegas mempertahankan kepentingan rakyat serta mampu membawa aspirasi masyarakat ke peringkat tertinggi, khususnya dalam mendepani isu kos sara hidup, pekerjaan dan pembangunan komuniti.
“Kita memerlukan wakil rakyat yang berani bersuara, tegas mempertahankan kepentingan rakyat serta mampu membawa aspirasi masyarakat ke peringkat tertinggi,” katanya.

Tambah beliau, calon yang diketengahkan juga perlu mempunyai pengalaman mengurus organisasi parti dengan baik serta mampu berurusan dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk DBKL, JKM, MAIWP, PDRM, MARA dan KKM.
Beliau turut menegaskan keperluan agar calon yang dipilih merupakan individu tempatan yang lahir dan membesar di Parlimen Batu bagi memastikan pemahaman mendalam terhadap keperluan masyarakat setempat.
“Kami memerlukan individu yang lahir dan membesar di Parlimen Batu, bukan sosok figura yang dikatakan hebat pada nama tetapi tidak lahir di sini,” katanya. – UMNO Online
