Kerjasama Pas-PPBM Berakhir, Slogan Penyatuan Melayu Dipersoal

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Pengakhiran kerjasama politik antara Pas dan PPBM menimbulkan persoalan tentang konsistensi agenda penyatuan Melayu yang selama ini diperjuangkan oleh Pas.

Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Temerloh, Abdullah Zaki Fadzil berkata, peristiwa tersebut menimbulkan tanda tanya kerana Pas sebelum ini sering mengangkat naratif penyatuan ummah dan kesatuan Melayu-Islam sebagai agenda utama perjuangannya menerusi pelbagai platform.

“Hari ini, rakyat menyaksikan satu ironi besar dalam politik tanah air. Bertahun-tahun Pas mengangkat naratif penyatuan ummah dan kesatuan Melayu-Islam sebagai agenda utama perjuangan.

“Ceramah demi ceramah diadakan, pentas demi pentas digunakan untuk mengingatkan bahawa perpecahan Melayu hanya akan melemahkan kuasa politik umat Islam di negara ini.

“Namun apabila Pas mengumumkan penghentian kerjasama politik dengan PPBM, ramai mula tertanya-tanya, ke mana perginya semangat penyatuan yang selama ini dilaungkan?” katanya.

Ujarnya, rakyat berhak bertanya mengenai slogan penyatuan Melayu tersebut sama ada ia benar-benar menjadi matlamat atau hanya sebagai alat politik.

“Bukankah PPBM juga sebuah parti yang majoriti ahlinya terdiri daripada orang Melayu? Bukankah kerjasama yang terjalin selama ini dipromosikan sebagai platform penyatuan ummah?

“Jika akhirnya kerjasama itu berakhir, maka rakyat berhak bertanya sama ada slogan penyatuan Melayu itu benar-benar menjadi matlamat atau sekadar alat politik yang berubah mengikut keadaan.

“Lebih menghairankan, setiap kali berlaku perubahan haluan politik, alasan yang diberikan tetap sama iaitu demi penyatuan ummah. Apabila bergabung, atas nama penyatuan ummah. Apabila berpisah, juga atas nama penyatuan ummah. Akhirnya rakyat menjadi keliru, adakah penyatuan itu benar-benar matlamat atau sekadar slogan yang digunakan mengikut keperluan semasa?” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menyeru rakyat untuk melakukan penilaian sebaiknya berdasarkan slogan dan juga realiti yang telah terjadi.

“Rakyat hari ini bukan lagi seperti dahulu. Mereka menilai berdasarkan tindakan, bukan sekadar ucapan. Mereka melihat konsistensi, bukan retorik. Jika parti-parti yang paling lantang menyeru kesatuan Melayu pun gagal mengekalkan kesepakatan sesama mereka, bagaimana rakyat boleh yakin bahawa agenda penyatuan itu benar-benar mampu direalisasikan?

“Berfikirlah wahai teman, nilailah mana kaca dan mana permata. Islam itu agama bukannya parti politik! Penyatuan Melayu itu bukan hanya ditutur di bibir tetapi perlu digarap dengan usaha dan kesepakatan,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO