BN Johor Ada Rekod Terbukti Bawa Kestabilan, Pembangunan dan Khidmat Cemerlang – Azalina

JOHOR BAHRU, 9 Jun – Barisan Nasional (BN) Johor mempunyai rekod pentadbiran yang terbukti dalam membawa kestabilan, pembangunan serta perkhidmatan yang cemerlang kepada rakyat negeri ini, khususnya Bangsa Johor.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pencapaian tersebut menjadi asas penting yang memperkukuhkan keyakinan terhadap kemampuan BN Johor dalam mentadbir negeri secara berkesan dan berterusan.

“Barisan Nasional Johor mempunyai rekod pentadbiran yang terbukti dalam membawa kestabilan, pembangunan dan khidmat yang cemerlang kepada Bangsa Johor,” katanya.

Menurut beliau yang juga Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi merangkap Ahli Parlimen Pengerang, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, BN Johor telah membuktikan keupayaan memahami denyut nadi rakyat, termasuk mengenal pasti keperluan semasa, aspek yang perlu diperbaiki serta perkara yang perlu diteruskan demi masa depan negeri.

“Insya-Allah, jika BN Johor diberikan mandat sekali lagi, kami akan terus bekerja serta memberikan yang terbaik untuk negeri Johor,” tambahnya.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di laman Facebooknya mengulas pelancaran jentera BN Johor yang disifatkan bukan sekadar acara simbolik, sebaliknya menjadi isyarat kesiapsiagaan parti menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ujarnya, pelancaran tersebut turut menjadi medan penting dalam memperkukuhkan kesiapsiagaan jentera parti di semua peringkat, termasuk memperkemas gerak kerja akar umbi menjelang PRN.

“Dengan semangat kebersamaan, disiplin dan gerak kerja tersusun, insya-Allah BN Johor di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi akan terus mendekati rakyat serta membawa agenda kestabilan dan pembangunan untuk negeri Johor.”

Ahad lalu, lautan biru memenuhi Stadium Tertutup Kompleks Educity Iskandar Puteri apabila jentera BN berhimpun bagi Majlis Pelancaran Jentera BN Johor sebagai persiapan menghadapi PRN.

Program yang disempurnakan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu berlangsung dalam suasana penuh meriah dengan kehadiran 25,000 penyokong, sekali gus membuktikan kekuatan serta kesediaan parti untuk mempertahankan negeri itu sebagai kubu kuat BN. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO