UMNO Tidak Sombong, Jangan Putar Belit Fakta

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Veteran UMNO menolak dakwaan kononnya parti itu bersikap sombong atau angkuh kerana tidak bekerjasama dengan parti tertentu, sambil menegaskan pendirian politik UMNO tidak pernah bersifat perkauman terhadap mana-mana pihak.

Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, tuduhan tersebut adalah tidak berasas dan cuba menggambarkan seolah-olah UMNO menafikan hak kaum lain dalam politik negara, sedangkan realitinya jauh berbeza berdasarkan sejarah perjuangan parti.

“UMNO sejak dahulu bukan parti yang menolak kerjasama antara kaum. Kita telah lama bekerjasama dalam pelbagai bentuk gabungan termasuk Perikatan dan Barisan Nasional bersama rakan komponen seperti MCA dan MIC,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal ini.

Beliau menegaskan, amalan perkongsian kuasa yang menjadi asas BN membuktikan UMNO tidak pernah menutup ruang kepada mana-mana kaum untuk terlibat dalam politik negara.

Dalam masa sama, Mustapha menjelaskan bahawa pendirian UMNO terhadap Dap adalah berdasarkan pertimbangan politik dan pengalaman kerjasama, bukannya kerana isu kaum atau sikap eksklusif seperti yang sering didakwa pihak tertentu.

Katanya lagi, sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan, pelbagai cabaran timbul dari segi keserasian dasar dan pendekatan, namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk memutarbelitkan fakta atau membina persepsi negatif terhadap UMNO.

Mengulas penglibatan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu sebelum ini, beliau berkata UMNO bertindak berdasarkan keputusan kepimpinan pusat serta semangat kerjasama dalam kerajaan, bukannya kerjasama langsung dengan mana-mana parti secara terasing.

“Keputusan-keputusan politik dibuat secara kolektif. Janganlah sampai ada pihak yang menukar naratif sehingga menuduh UMNO bersikap angkuh atau menolak kaum lain,” katanya.

Beliau menambah, sejarah politik negara sudah jelas menunjukkan UMNO sentiasa memainkan peranan dalam kerjasama pelbagai kaum, justeru sebarang usaha untuk memutarbelitkan fakta tersebut wajar dihentikan segera.

“Sejarah tidak boleh dipadam atau diputar sesuka hati. Jangan putar belit fakta demi kepentingan politik,” tegasnya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO