PRN: UMNO/BN Johor Tolak Dap Atas Prinsip, Bukan Sentimen Perkauman

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Segamat, Muhammad Ferhad Azuar menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menegaskan bahawa Dap tidak akan menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri sekiranya BN terus diberi mandat mentadbir Johor.

Beliau berkata, pendirian tersebut bukan bersandarkan sentimen perkauman, sebaliknya berteraskan prinsip serta rekod pentadbiran BN yang disifatkan telah membawa kemajuan kepada Johor tanpa penglibatan Dap.

“Ini bukan perkauman. Ini prinsip. Ini rekod. Johor pernah maju tanpa Dap dan Johor akan terus maju tanpa Dap.

“Kata kepimpinan Dap, BN Johor sombong kerana tak mahu duduk semeja dengan mereka? Sombong? Atau berprinsip?

“Kalau berprinsip itu sombong, habis apa kata kita tentang Dap yang setiap minggu duduk semeja dengan BN di Putrajaya, tapi datang ke Johor berlakon macam BN musuh nombor satu mereka? Itu bukan sombong… itu hipokrit,” katanya.

Katanya, kerjasama antara BN dan Dap di peringkat Persekutuan adalah sebahagian daripada tanggungjawab nasional yang dilaksanakan atas titah Yang di-Pertuan Agong demi menjamin kestabilan negara.

Menurut beliau sebaliknya situasi di Johor adalah berbeza kerana rakyat negeri itu telah memberikan mandat yang jelas kepada BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 untuk mentadbir kerajaan negeri.

“Pengerusi BN sendiri, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, duduk semeja dengan Dap setiap minggu di peringkat Persekutuan atas titah Yang di-Pertuan Agong demi kestabilan negara. Itu tanggungjawab nasional.

“Tetapi Johor adalah cerita yang berbeza dan rakyat Johor beri mandat yang jelas kepada BN pada PRN 2022 dan mandat itu tidak datang dengan syarat berkongsi kerusi dengan Dap,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Muhammad Ferhad menegaskan bahawa masyarakat Cina di Johor sentiasa menjadi sebahagian daripada keluarga besar Bangsa Johor dan tidak pernah dipinggirkan dalam pelaksanaan dasar kerajaan negeri.

Melalui pelbagai inisiatif termasuk Bantuan Kasih Johor (BKJ) katanya memberi peluang perniagaan, kemudahan awam telah disalurkan kepada rakyat tanpa mengira kaum atau latar belakang.

“BKJ mengalir kepada semua kaum tanpa diskriminasi… yang kami tolak bukan masyarakat Cina yang ang kami tolak adalah parti yang bermain dua watak demi kuasa.

“Rakyat Johor cukup matang untuk nilai sendiri siapa yang benar-benar berkhidmat, dan siapa yang sekadar berpolitik,” katanya lagi.

Terdahulu Onn Hafiz, menegaskan bahawa BN Johor tidak akan bekerjasama dengan Dap sekiranya diberi mandat untuk mentadbir semula kerajaan negeri pada masa hadapan.

Beliau memaklumkan rela melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar sekiranya bersama dengan Dap. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO