Semangat Perjuangan BN Terus Menyala Dengan Satu Hati, Satu Matlamat – Fuad Tukirin

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Naning, Datuk Dr. Mohd Fuad Tukirin menyifatkan Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Johor yang berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Educity Iskandar Puteri semalam sebagai manifestasi kekuatan sebenar parti yang terus mendapat kepercayaan rakyat serta menjadi tunjang kestabilan negeri Johor.

Menurut beliau, kehadiran ribuan ahli dan penyokong dari seluruh pelusuk negeri membuktikan bahawa semangat perjuangan BN bukan sahaja masih utuh, malah semakin membara menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

“Kita hadir bukan sekadar memenuhi ruang stadium, tetapi hadir dengan satu tekad dan satu jiwa perjuangan. Kita datang membawa harapan rakyat, mempertahankan kestabilan negeri dan memastikan Johor terus dipimpin oleh kerajaan yang bekerja serta menunaikan amanah.

“Saya melihat sendiri wajah-wajah penuh harapan, semangat dan keyakinan dalam kalangan ahli parti. Mereka inilah tulang belakang perjuangan yang tidak pernah mengenal penat lelah. Pengorbanan mereka amat besar dan sewajarnya dihargai oleh seluruh kepimpinan parti,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Fuad turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang telah menunjukkan kepimpinan dekat dengan rakyat serta berjaya membawa pelbagai inisiatif pembangunan dan kesejahteraan kepada negeri Johor.

“Rakyat mahukan pemimpin yang turun padang, mendengar denyut nadi rakyat dan menyelesaikan masalah mereka. Saya percaya kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah membuktikan bahawa kerajaan BN Johor sentiasa meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segala-galanya.

“BN Johor tidak perlu bergantung kepada pakatan yang rapuh dan penuh percanggahan. Kekuatan kita terletak pada keikhlasan berkhidmat, pengalaman mentadbir dan keyakinan rakyat yang terus bersama kita sejak sekian lama,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama, beliau menyeru rakyat Johor agar tidak mudah terpengaruh dengan fitnah, tohmahan serta naratif politik yang sengaja dimainkan oleh pihak tertentu untuk mengelirukan rakyat.

“Jangan biarkan emosi mengatasi fakta. Nilailah berdasarkan rekod dan hasil kerja. Ketika ada pihak sibuk mencipta persepsi dan polemik politik, kerajaan BN Johor terus bekerja membangunkan negeri serta membantu rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

“Rakyat tidak lagi mahu dijanjikan bulan dan bintang. Mereka mahukan kestabilan, peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi, kemudahan infrastruktur yang baik serta kehidupan yang lebih sejahtera untuk keluarga mereka,”ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh jentera BN Johor agar terus memperkukuhkan perpaduan dan memperhebatkan gerak kerja di semua peringkat demi memastikan kemenangan besar BN pada pilihan raya akan datang.

“Marilah kita bergerak sebagai satu pasukan, satu hati dan satu matlamat. Kemenangan yang kita perjuangkan bukan untuk individu atau kelompok tertentu, tetapi demi masa depan Johor dan kesejahteraan seluruh rakyatnya.

“Insya-Allah, dengan izin Allah SWT serta sokongan padu rakyat, BN Johor akan terus menjadi pilihan utama dan meneruskan agenda membangun negeri yang kita cintai ini. BN Johor: Stabil, Berkhidmat dan Membela Rakyat,” tegasnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO