Onn Hafiz Perjelas Keputusan Bubar DUN Johor Lebih Awal
ISKANDAR PUTERI, 8 Jun – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menjelaskan keputusan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor lebih awal dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor.
Beliau yang juga Menteri Besar berkata ini termasuk sambutan perayaaan serta musim tengkujuh antara November hingga Januari tahun depan.

“Ramai yang tanya kenapa Johor bubar 1 Jun sedangkan kita ada smpai April tahun depan. Hakikatnya bulan tiga (Mac) ada Hari Raya Aidilfitri, kita di Johor terbiasa raya terlajak, macam mana hendak pilihan raya April?
“Bulan dua (Februari) pula bulan puasa dan Tahun Baharu Cina, kalau diadakan November atau Disember dan Januari musim banjir… itulah hakikatnya,” katanya.
Onn Hafiz berkata demikian pada Majlis Pelancaran Jentera BN Johor yang berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Educity Iskandar Puteri, semalam.
Turut hadir Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Presiden MCA, Datuk Seri Ir Wee Ka Siong; Presiden MIC Tan Sri S.A. Vigneswaran serta kepimpinan lain.
Katanya lagi, ketegangan geopolitik yang semakin meruncing di Timur Tengah turut menjadi faktor yang perlu diberi perhatian kerana berpotensi memberi kesan kepada ekonomi global.
“Geopolitik di Timur Tengah, Selat Hormuz masih ditutup… keadaan global tidak stabil.
“Dalam kita hendak berdepan suasana yang tidak stabil, kita di Johor perlu pastikan ada kerajaan stabil dan kuat, pastikan Johor maju ke depan,” ujar beliau.
Terdahulu, Onn Hafiz mengumumkan pembubaran DUN Johor berkuat kuasa 1 Jun bagi memberi laluan kepada PRN ke-16.
Untuk rekod pada PRN Johor 2022, BN menang 40 daripada 56 kerusi, Pakatan Harapan 12 kerusi dan Perikatan Nasional hanya memenangi tiga kerusi. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib
