Liga Bola Sepak Rakyat Pahang 1st Cungkit Bakat Berkualiti – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata Liga Bola Sepak Rakyat Pahang 1st Piala Al-Sultan Abdullah 2026 menjadi gelanggang mencungkil bakat serta pemangkin kepada kebangkitan bola sepak negeri yang lebih gemilang serta medan penyatuan masyarakat,.

Ujarnya, dengan penyertaan sebanyak 112 pasukan dari seluruh pelusuk Pahang, Liga Bola Sepak Rakyat Pahang 1st bukan sekadar sebuah kejohanan, tetapi merupakan platform pembangunan bakat yang membuka ruang kepada anak-anak Pahang untuk menyerlahkan potensi mereka.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuhkan pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi, sekali gus memastikan kesinambungan lahirnya pemain-pemain berkualiti yang mampu mengangkat nama Pahang pada masa hadapan.

“Insya-Allah, menerusi kejohanan seperti ini, kita bukan sahaja dapat membentuk sebuah pasukan yang lebih mantap, malah dapat melahirkan generasi pemain yang memiliki disiplin, semangat juang serta jati diri yang tinggi demi kecemerlangan sukan bola sepak negeri.

“Mudah-mudahan daripada padang-padang kampung dan komuniti inilah akan lahir bintang-bintang baharu yang suatu hari nanti mengharumkan nama Pahang di persada yang lebih tinggi,” kata Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO dalam satu hantaran di Facebook baru-baru ini.

Seterusnya, Wan Rosdy merafak sembah dan menjunjung kasih ke sisi Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah atas perkenan berangkat ke Majlis Pelancaran Liga Bola Sepak Rakyat Pahang 1st Sempena Merebut Piala Al-Sultan Abdullah 2026 serta menyaksikan perlawanan pembukaan antara Pilihan Pahang menentang Pilihan Selangor di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

“Alhamdulillah, pasukan Pilihan Pahang berjaya mencatat kemenangan 2-1 ke atas Pilihan Selangor dalam aksi pembukaan yang berlangsung penuh semangat kesukanan yang tinggi.

“Tahniah dan terima kasih kepada YB (Yang Berhormat) Fadzli Mohamad Kamal, Majlis Belia Negeri Pahang, bekas pemain negeri Pahang serta semua agensi yang terlibat dalam menjayakan program ini.

“Namun, lebih besar daripada kemenangan itu ialah matlamat murni yang dibawa menerusi penganjuran liga ini,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO