Lautan Biru Penuhi Pelancaran Jentera BN Johor
ISKANDAR PUTERI, 7 Jun – Lautan biru memenuhi Stadium Tertutup Kompleks Educity Iskandar Puteri apabila jentera Barisan Nasional (BN) berkumpul bagi Majlis Pelancaran Jentera BN Johor sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).
Program yang bermula pada petang tadi berlangsung dalam suasana penuh meriah dengan kehadiran 25,000 penyokong, sekali gus membuktikan kekuatan serta kesediaan parti untuk mempertahankan negeri itu sebagai kubu kuat BN.
Tinjauan lensa UMNO Online menyaksikan ia dipenuhi dengan pelbagai lapisan kaum dan generasi termasuk golongan muda yang dilihat teruja dengan ucapan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Turut memberi ucapan ialah Presiden MCA, Datuk Seri Ir Wee Ka Siong; Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran dan Presiden myPPP, Datuk Dr Loga Bala Mohan.
Dalam masa sama turut diadakan penyerahan negeri angkat kepada bahagian-bahagian UMNO Johor bagi membantu memperkukuh gerak kerja di setiap DUN sepanjang tempoh kempen PRN Johor.
Selain itu, majlis turut menyaksikan pelancaran lagu tema BN Johor bagi menyemarakkan simbol kesatuan dan kekuatan BN.
Terdahulu, Onn Hafiz mengumumkan pembubaran DUN Johor berkuat kuasa 1 Jun bagi memberi laluan kepada PRN ke-16.
Untuk rekod, pada PRN Johor 2022, UMNO-BN menang 40 daripada 56 kerusi dengan Pakatan Harapan 12 kerusi yang terdiri daripada Dap 10 kerusi, manakala PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi. – UMNO Online
