PRN: Pilih Agenda Kemajuan Johor, Jangan Terpengaruh Hasutan Politik
ISKANDAR PUTERI, 8 Jun – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan komitmen berterusan dalam melaksana agenda kemajuan negeri sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Beliau yang juga Menteri Besar Johor berkata meskipun pelbagai pembangunan telah dilakukan namun ia harus diteruskan demi memastikan Johor terus berkembang sebagai negeri maju dan berdaya saing.
“Semua sedia maklum agenda untuk memajukan negeri ini amat besar, kita baru di fasa pertama. Segala hasil negeri syukur alhamdulillah, pelaburan meningkat… hasil meningkat.
“Tapi kita bukan bangga dengan angka kerana hasil negeri itu adalah menjadi tanggungjawab, amanah kita untuk memulangkannya kepada rakyat bangsa Johor.
“Sama ada kita dapat masuk fasa kedua bergantung kepada rakyat bangsa Johor yang akan memilih tidak lagi. Mereka pilih sama ada ke kanan atau kiri, maju atau mundur ke belakang,” katanya.
Onn Hafiz berkata demikian pada Majlis Pelancaran Jentera BN Johor yang berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Educity Iskandar Puteri, semalam.
Turut hadir Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Presiden MCA, Datuk Seri Ir Wee Ka Siong; Presiden MIC Tan Sri S.A. Vigneswaran serta kepimpinan lain.
Menurut Onn Hafiz lagi, jentera BN perlu melaksanakan gerak kerja sebaiknya dengan mendekati rakyat di samping menyampaikan aspirasi parti.
Dalam pada itu beliau turut mengingatkan rakyat agar sentiasa berwaspada terhadap penyebaran fitnah di media sosial yang kini menjadi antara medium utama kempen politik.
“Sebab itu peranan jentera pada PRN datang ke sini termasuk rakan-rakan BN parti komponen kita kena terus santuni keseluruhan rakyat.
“… kerana ramai yang sedang menangguk di air yang keruh, sebelum ini batang hidung pun tidak pernah nampak namun hari ini datang hendak jadi juara rakyat, saya yakin bangsa Johor boleh beza kaca dan permata.
“Pada tahun 2018 kita berhadapan PRU sengit, hasutan demi hasutan… janji bulan bintang, pelbagai strategi mereka guna untuk raih undi menghasut rakyat tapi kali ini bangsa Johor tidak akan termakan hasutan.
“Hati-hati dalam dunia sosial medan mengebar fitnah jadi bahan utama mereka guna untuk kempen, ini bukan perkara main-main, (mereka) tidak perlu buat apa-apa kerja mereka menabur fitnah di sosial,” ujar beliau. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib
