Kerajaan Negeri Johor Bukan Sekadar Umum Bantuan, Tetapi Benar-benar Sampai Kepada Rakyat

KUALA LUMPUR, 7 Jun – Kerajaan Negeri Johor di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi sentiasa berusaha bantuan yang diberikan bukan sekadar diumumkan, tetapi mestilah sampai kepada rakyat.

Menurut Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor dalam satu perkongsian di Facebook, pelbagai inisiatif bantuan dan program kesejahteraan terus diperkasakan dari masa ke semasa.

“Kerajaan Negeri Johor di bawah pimpinan YAB (Yang Amat Berhormat) Dato’ Onn Hafiz Ghazi sentiasa berusaha memastikan bantuan yang diberikan bukan sekadar diumumkan, tetapi benar-benar sampai kepada rakyat yang memerlukan. Sebab itu pelbagai inisiatif seperti Bantuan Kasih Johor, Jualan Kasih Johor, Baucar Kasih Johor dan pelbagai program kesejahteraan lain terus diperkasakan dari semasa ke semasa.

“Apa yang paling penting, program seperti ini memberi manfaat secara langsung kepada keluarga-keluarga Johor. Dalam keadaan kos sara hidup yang masih mencabar, setiap ringgit yang dapat dijimatkan oleh rakyat merupakan satu bantuan yang amat bermakna kepada mereka,” kata Ketua UMNO Bahagian Kulai itu lagi.

Selanjutnya, Mohd Jafni bersyukur Program Jualan Kasih Johor yang berlangsung pagi ini di Dewanraya Bandar Putra sekali lagi membuktikan bahawa inisiatif yang dekat di hati rakyat sentiasa mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

“Melalui program ini, sebanyak 6,000 Set Kombo Kasih Johor disediakan untuk manfaat rakyat. Set yang mengandungi seekor ayam segar, minyak masak 2 liter dan satu papan telur ini ditawarkan pada harga subsidi yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran.

“Selain itu, pelbagai barangan keperluan lain seperti ayam, ikan, buah-buahan dan barangan runcit turut dijual dengan harga yang lebih berpatutan bagi membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat,” kata penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai itu.

Begitu juga katanya, pada masa yang sama, sebanyak 2,000 Bakul Kasih Johor turut disalurkan kepada golongan sasar melibatkan kumpulan B40 dan beliau berharap agar sumbangan ini dapat meringankan beban dan membawa kegembiraan kepada penerima.

“Insya-Allah, Kerajaan Negeri akan terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat. Selagi diberikan amanah, kebajikan rakyat akan terus menjadi keutamaan kerana kestabilan hari ini adalah asas kepada kesejahteraan Bangsa Johor pada masa hadapan,” katanya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO