Dr Zambry Terima Kunjungan Duta Switzerland, Perkukuh Kerjasama Strategik Pendidikan Tinggi

KUALA LUMPUR, 5 Jun – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menerima kunjungan hormat Duta Besar Switzerland ke Malaysia, TYT Chantal Moser bagi membincangkan usaha memperkukuh hubungan dua hala khususnya dalam bidang pendidikan tinggi.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata ia termasuk bertukar pandangan mengenai usaha penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat melalui inisiatif Malaysia–Swiss Nexus.

“Kami turut membincangkan potensi kerjasama yang lebih luas dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI), transformasi digital, pembangunan mampan, mobiliti akademik serta pengukuhan jaringan penyelidikan antara institusi kedua-dua negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dr Zambry dalam pada itu meluahkan keyakinan hubungan erat yang terjalin dapat melahirkan modal insan berkualiti dalam memperkasa agenda pembangunan ilmu serta inovasi untuk kedua-dua buah negara.

“Saya percaya kerjasama strategik seperti ini akan membuka lebih banyak peluang kepada mahasiswa, penyelidik dan institusi pendidikan tinggi negara untuk bergerak seiring dengan perkembangan global, selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035.

“Semoga hubungan erat antara Malaysia dan Switzerland terus diperkukuh demi manfaat bersama,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO