MN 2.0: ‘Keikhlasan Pas Atau Sekadar Retorik Menjelang PRN?’

KUALA LUMPUR, 5 Jun – Naib Ketua Penerangan Pemuda UMNO Negeri Johor, Muhammad Taufiq Abd Hamid mempersoal kesungguhan dan keikhlasan Pas untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Ledang berkata perkara itu menimbulkan tanda tanya selepas Johor menikmati kestabilan di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).

“Rakyat masih ingat MN yang dibina dengan susah payah dahulu akhirnya dikhianati apabila Pas memilih untuk bersama Bersatu membentuk PN (Perikatan Nasional).

“Sedangkan semua orang tahu Bersatu ditubuhkan dengan matlamat utama untuk menggantikan dan melemahkan UMNO.

“Selepas bertahun-tahun bergerak bersama PN, selepas empat tahun Johor berada di bawah pentadbiran Barisan Nasional yang stabil dan dominan, selepas Menteri Besar Johor mengumumkan pembubaran DUN (Dewan Undangan Negeri).

“Adakah ia benar-benar lahir daripada keikhlasan demi perpaduan umat Melayu dan Islam, atau sekadar retorik politik untuk meraih kembali sokongan orang Melayu?” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Katanya, UMNO sentiasa terbuka kepada perpaduan umat Islam dan orang Melayu namun ia mesti dibina atas dasar keikhlasan, kepercayaan dan saling menghormati, bukannya muncul secara bermusim apabila pilihan raya semakin hampir.

Menurut beliau lagi sekiranya Pas memperjuangkan penyatuan mereka wajar menyeru ahli-ahli dan penyokongnya di Johor supaya mengundi BN.

“Orang Johor merupakan rakyat yang matang dan bijak menilai. Mereka mampu membezakan antara keikhlasan perjuangan dan retorik politik yang muncul setiap kali musim pilihan raya tiba.

“Jika Pas benar-benar ikhlas memperjuangkan penyatuan Melayu dan Islam, apa kata Pas menyeru ahli-ahli dan penyokongnya di Johor supaya mengundi Barisan Nasional. Bukankah suatu ketika dahulu Pas pernah menyeru penyokongnya mengundi Dap dan parti-parti lain semata-mata untuk menjatuhkan BN?

“Selain itu, jika Pas begitu yakin dengan formula kerjasama ini, adakah Pas bersedia berbincang soal pembahagian kerusi dengan UMNO di Kelantan dan Terengganu pada pilihan raya akan datang?” ujar beliau.

Terdahulu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN Johor berkuat kuasa 1 Jun bagi memberi laluan kepada PRN ke-16.

Pada PRN Johor 2022, UMNO-BN menang 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan, diikuti Pakatan Harapan 12 kerusi, Perikatan Nasional tiga dan Muda satu. – UMNO Online

 

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO