TVET ATM-MOT Disifatkan Sebagai ‘Game Changer’ – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA, 4 Jun – Kerjasama strategik antara Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi anggota Angkatan Tentera Malaysia disifatkan sebagai ‘game changer’, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata inisiatif itu juga mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada golongan itu selepas menamatkan perkhidmatan, khususnya dalam usaha memastikan anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempunyai laluan kerjaya lebih jelas dalam sektor awam dan industri.

“Hari ini kita saksikan satu ‘game changer’ yang telah saya impikan sejak saya menjadi Menteri Pertahanan dahulu.

“Bukan sahaja untuk memberikan peluang kepada veteran menceburi bidang pengangkutan dan logistik, tetapi juga untuk memastikan mereka terus menjadi tenaga kerja berkualiti yang diperlukan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Kerjasama Strategik antara MOT dan MINDEF bagi Pemerkasaan TVET Anggota ATM, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Sebagai langkah awal pelaksanaan kerjasama itu, sebanyak 3,208 kekosongan jawatan telah dikenal pasti dalam sektor pengangkutan meliputi subsektor pelabuhan, logistik, rel, pengangkutan awam dan pengangkutan darat.

Ahmad Zahid berkata kerjasama itu membuktikan keberkesanan pendekatan rentas kementerian yang mengutamakan tindakan pantas berbanding bekerja secara berasingan atau silo.

Beliau berkata cadangan berkenaan dibentangkan oleh Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) kepada Majlis TVET Negara kira-kira tiga bulan lepas, sebelum berjaya direalisasikan dalam tempoh singkat.

“Kita lihat bahawa apabila kita mengambil pendekatan tidak bekerja secara silo, maka keberhasilannya dapat dilaksanakan dengan segera,” katanya.

Inisiatif itu juga mencerminkan keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap anggota tentera yang bakal bersara, khususnya mereka yang menamatkan perkhidmatan jangka pendek dan masih mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada ekonomi negara.

Beliau berkata PERHEBAT turut melakukan transformasi dengan memperkenalkan kursus-kursus yang lebih memenuhi keperluan industri semasa berbanding kursus konvensional yang kurang menjanjikan pulangan kepada peserta.

“…ini adalah komitmen untuk menterjemahkan agenda nasional. Ertinya kepedulian kerajaan MADANI terhadap semua kumpulan masyarakat, terutamanya mereka yang bakal bersara daripada perkhidmatan ketenteraan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata sektor logistik termasuk penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) aeroangkasa, industri maritim serta pelbagai sektor perkhidmatan lain amat memerlukan tenaga kerja yang mempunyai disiplin tinggi dan etika kerja yang kukuh.

Beliau berkata anggota dan pegawai ATM mempunyai kelebihan itu hasil latihan serta pengalaman sepanjang perkhidmatan mereka, sekali gus menjadikan mereka aset bernilai kepada industri.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata kerajaan akan melangkah ke arah TVET 2.0 dengan menumpukan kepada pembangunan tenaga kerja berimpak tinggi dan berkemahiran tinggi yang memenuhi permintaan pasaran.

Beliau berkata sebanyak RM7.9 bilion diperuntukkan tahun ini bagi melatih dan menyelaras 1,345 institusi TVET di bawah 12 kementerian.

Usaha penyelarasan itu mula menunjukkan hasil apabila jumlah penyertaan pelajar dalam institusi TVET meningkat kepada 497,000 orang berbanding hanya 121,000 dua tahun lepas. – BERNAMA

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO