Pemuda UMNO Johor Seru Kuasai Naratif Ruang Digital Hadapi PRN
KUALA LUMPUR, 4 Jun – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, Noor Azleen Ambros menyeru jentera parti memperkukuhkan penguasaan media sosial sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata ini kerana penggunaan media sosial kini menjadi medium utama komunikasi politik dan perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh jentera parti untuk mendekati pengundi.
“PRN Johor bukan sekadar pertembungan calon dan parti, tetapi juga pertembungan naratif di medan digital.
“Hari ini, telefon pintar adalah pentas ceramah baharu. Media sosial adalah gelanggang perjuangan baharu.
“Setiap hantaran, video, komen dan perkongsian mampu membentuk persepsi rakyat serta menentukan arah sokongan pengundi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Noor Azleen berkata, jentera parti perlu bergerak seiring dengan perubahan zaman dan tidak boleh ketinggalan dalam memanfaatkan platform digital sebagai medan perjuangan politik.
Katanya media sosial digunakan secara berhemah dengan menyebarkan maklumat yang tepat serta menjawab sebarang fitnah melalui pendekatan yang matang dan berfakta.
“Jentera parti mesti bergerak seiring dengan perubahan zaman. Kita tidak boleh sekadar menjadi penonton ketika pihak lawan menguasai ruang digital.
“Kita mesti menjadi pencipta kandungan, penyampai fakta dan pembina keyakinan rakyat terhadap perjuangan yang kita bawa.
“Sebarkan fakta, jawab fitnah dengan hikmah, tonjolkan kejayaan, dan angkat suara rakyat melalui platform digital. Jangan biarkan ruang media sosial dipenuhi dengan naratif yang mengelirukan dan memecah-belahkan masyarakat,” ujar beliau. – UMNO Online
