Farmasi Pandu Lalu Angkat Kualiti Hidup Rakyat Melaka – Ab Rauf
KUALA LUMPUR, 4 Jun – Kewujudan Farmasi Pandu Lalu di empat lokasi di Melaka dilihat mampu mempertingkat kecekapan operasi kesihatan dan mengangkat kualiti hidup rakyat secara menyeluruh.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memaklumkan empat lokasi Farmasi Pandu Lalu tersebut ialah di Hospital Melaka, Klinik Kesihatan Masjid Tanah, Klinik Kesihatan Umbai dan Klinik Kesihatan Merlimau.

“Saya nak kongsikan kepada semua warga Melaka bahawa saudara-saudari tak perlu lagi beratur panjang di kaunter ubat-ubatan kerana Melaka kini mempunyai empat lokasi Farmasi Pandu Lalu di Hospital Melaka; Klinik Kesihatan Masjid Tanah, Klinik Kesihatan Umbai dan Klinik Kesihatan Merlimau bagi kemudahan rakyat Melaka.
“Kemudahan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Melaka di bawah Perkhidmatan Nilai Tambah Farmasi (Value Added Services-VAS) ini membolehkan pesakit mendapatkan ubat tanpa perlu turun daripada kenderaan, sekali gus mengurangkan kesesakan di kaunter farmasi,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara berkata, inisiatif tersebut selaras dengan agenda Melaka Sayang Rakyat (MeSRa).

“Inisiatif ini juga selaras dengan agenda MeSRa, yang menzahirkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan melalui penyampaian perkhidmatan yang lebih pantas, mudah dan berkesan.
“Kerajaan Negeri Melaka yakin, kemudahan ini bukan sahaja mempertingkatkan kecekapan operasi kesihatan, malah mengangkat kualiti hidup rakyat Melaka secara menyeluruh,” katanya lagi. – UMNO Online
