Perjuangan BN Pastikan Kestabilan, Kemakmuran Bangsa Johor Terpelihara
KUALA LUMPUR, 4 Jun – Ketua UMNO Bahagian Kulai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor menegaskan bahawa perjuangan Barisan Nasional (BN) merupakan amanah untuk memastikan kestabilan dan kemakmuran Bangsa Johor terpelihara.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Pengerusi BN Parlimen Kulai memaklumkan telah mempengerusikan Mesyuarat Biro Politik BN bahagian pada Rabu malam.

“Alhamdulillah,saya telah mempengerusikan Mesyuarat Biro Politik BN Bahagian Kulai bersama barisan kepimpinan parti di peringkat bahagian.
“Mesyuarat ini menjadi platform penting untuk menilai perkembangan semasa, memperkukuhkan gerak kerja organisasi serta menyusun strategi dan persiapan menghadapi cabaran politik yang semakin dinamik.
“Dalam suasana politik yang sentiasa berubah, kekuatan sesebuah parti tidak hanya terletak pada kepimpinan, tetapi juga pada kesatuan hati, disiplin organisasi dan kesediaan seluruh jentera untuk terus bekerja mendekati rakyat,” kata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai itu.
Ujarnya, BN akan terus kekal relevan selagi parti ini memahami denyut nadi rakyat, mendengar suara mereka dengan ikhlas dan berusaha mencari penyelesaian kepada setiap permasalahan yang dihadapi.

“Apa yang paling penting, perjuangan ini bukan sekadar soal politik atau pilihan raya semata-mata. Ia adalah tentang amanah untuk memastikan kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan Bangsa Johor terus terpelihara.
“Terima kasih kepada seluruh ahli mesyuarat yang hadir serta terus komited menggalas tanggungjawab demi agama, bangsa dan tanah air.
“Insya-Allah, dengan semangat muafakat dan kesatuan yang kukuh, kita akan terus melangkah ke hadapan demi Johor yang lebih maju dan masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang,” katanya lagi. – UMNO Online
