DUN Johor Melepasi Tempoh Matang, Cakap Berdasarkan Data Bukan Sentimen Politik

KUALA LUMPUR, 4 Jun – Exco Wanita UMNO Malaysia, Dr Masliha Harun memaklumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor telah melepasi fasa yang sesuai untuk dipertimbangkan pembubaran bagi memberi laluan kepada rakyat menentukan mandat baharu.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab tindakan segelintir pihak yang mempertikai keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam masa terdekat.

“Untuk pengetahuan, di Johor tempoh matang DUN sebenarnya telah pun melepasi fasa sesuai untuk dipertimbangkan pembubaran. Persoalan mengapa perlu dilakukan sekarang tidak timbul kerana inilah masa yang tepat untuk mendapatkan mandat baharu daripada rakyat Johor.

“Johor ketika ini sedang berada pada landasan yang sangat baik, dengan kemasukan pelaburan bernilai berbilion ringgit yang memberi limpahan ekonomi, peluang pekerjaan dan pembangunan kepada negeri.

“Sekiranya mandat baharu diberikan, kesinambungan kecemerlangan ini dapat dikekalkan, malah diperkukuhkan dengan pelaksanaan polisi-polisi yang lebih baik demi kesejahteraan rakyat Johor,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dalam pada itu menurut Dr Masliha, perbahasan mengenai PRN Johor sewajarnya dibuat berasaskan data dan pencapaian sebenar negeri, bukannya dipengaruhi sentimen politik semata-mata.

Katanya ini kerana Johor kini merupakan antara pemacu utama ekonomi negara dengan pelbagai pencapaian yang boleh diukur menerusi data rasmi dan rekod pelaburan yang memberangsangkan.

“Kena bercakap berdasarkan data, bukan sentimen politik semata-mata. Johor hari ini sedang memacu ekonomi negara dengan pencapaian yang bukan kecil. Pada tahun 2025 sahaja, Johor merekodkan RM110 bilion pelaburan diluluskan, tertinggi di Malaysia dan tertinggi dalam sejarah negeri.

“Ini bukan angka propaganda. Ini data rasmi yang menunjukkan keyakinan pelabur tempatan dan antarabangsa terhadap kestabilan serta hala tuju kerajaan Johor.

“Lebih penting, pelaburan ini dijangka mewujudkan lebih 24,000 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat Johor. Malah pada suku pertama 2025 sahaja, Johor sudah mendahului negeri-negeri lain dengan RM30.1 bilion pelaburan diluluskan.

“Pelabur pula tidak menunggu politik kita sehingga stabil. Kalau kita sendiri tidak berani mendapatkan mandat jelas daripada rakyat, mesej yang dihantar kepada pelabur adalah lemah dan tidak meyakinkan,” ujar beliau.

Terdahulu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN Johor berkuat kuasa 1 Jun bagi memberi laluan kepada PRN ke-16.

Untuk rekod, pada PRN Johor 2022, UMNO-BN menang 40 daripada 56 kerusi dengan Pakatan Harapan yang terdiri daripada Dap menang 10 kerusi, manakala PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO