Hari TVET Negara Manifestasi Pengiktirafan Pendidikan Kemahiran – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Hari TVET Negara yang disambut pada hari ini merupakan manifestasi pengiktirafan terhadap peranan besar pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) dalam membina masa depan negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara merakamkan penghargaan kepada seluruh warga TVET yang selama ini memainkan peranan penting dalam menjayakan agenda pemerkasaan pendidikan berasaskan kemahiran.

“Sebagai Pengerusi Majlis TVET Negara, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga TVET yang terdiri daripada para pendidik, tenaga pengajar, institusi latihan, pemain industri, majikan, agensi Kerajaan, sektor swasta, rakan strategik serta para pelajar yang bersama-sama menggerakkan agenda pemerkasaan TVET selama ini.

“Alhamdulillah, usaha yang dilaksanakan secara berterusan ini sudah mula memperlihatkan hasil yang membanggakan,” katanya.

Menurut beliau, kadar kebolehpasaran graduan TVET terus menunjukkan peningkatan apabila mencapai 95.9 peratus pada tahun 2025 berbanding 95.6 peratus pada tahun sebelumnya.

“Kejayaan ini adalah hasil komitmen dan kerjasama semua pihak yang percaya bahawa pendidikan berasaskan kemahiran merupakan antara pemacu utama kepada ekonomi yang lebih berdaya saing dan masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden UMNO tersebut turut mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama memeriahkan Sambutan Hari TVET Negara 2026 yang akan berlangsung di Dataran Putrajaya bermula 5 hingga 7 Jun ini.

“Pelbagai pengisian menarik menanti anda, termasuk pameran teknologi dan inovasi, peluang kerjaya, pertandingan kemahiran serta aktiviti interaktif yang sesuai untuk seisi keluarga.

“Insya-Allah, jumpa anda di sana,” katanya lagi.

Sambutan Hari TVET Negara 2026 membawa tema “TVET Pilihan Utama Kerjaya” yang menzahirkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh pendidikan dan latihan kemahiran sebagai laluan utama pembangunan modal insan negara. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO