Mohd Rafi Terus Santuni Masyarakat Labuan, Sumbangan Kebajikan Perkukuh Silaturrahim
LABUAN, 31 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan terus mendekati masyarakat melalui pelbagai program kebajikan dan kemasyarakatan yang dilaksanakan di beberapa lokasi sekitar Labuan.
Beliau bersama pasukannya telah menyampaikan sumbangan beras kepada beberapa bakal pengantin di kawasan Durian Tunjung, Tanjung Aru Nelayan, Lajau dan Pantai sebagai tanda sokongan serta keprihatinan terhadap masyarakat setempat.
Mohd Rafi berkata, sumbangan tersebut diharap dapat membantu meringankan persiapan pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga selain mengeratkan hubungan antara kepimpinan dan rakyat.

“Saya mendoakan agar segala urusan majlis perkahwinan mereka dipermudahkan, berjalan lancar serta ikatan yang dibina berkekalan hingga ke akhir hayat,” katanya.
Dalam program berasingan, beliau turut menziarahi seorang penduduk di Kampung Belukut dan menyerahkan sumbangan kerusi roda kepada individu yang memerlukan bantuan.
Menurutnya, kebajikan rakyat akan terus menjadi keutamaan dan beliau berharap penerima sumbangan diberikan kekuatan serta kesembuhan dalam menjalani kehidupan seharian.
Selain aktiviti kebajikan, Mohd Rafi turut meluangkan masa menghadiri beberapa majlis perkahwinan sebagai tanda penghargaan kepada masyarakat yang menjemput beliau.
Beliau memulakan kunjungan di Kampung Lubok Temiang bagi meraikan pasangan M. Shahril Kamis dan Rabiatul Minit Nakibah M. Jesman sebelum menghadiri majlis pasangan Farah Hana Erma Sazali dan M. Hafizi Abd Mulah di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan.

Mohd Rafi turut mengucapkan selamat pengantin baharu kepada kedua-dua pasangan mempelai dan mendoakan agar rumah tangga yang dibina sentiasa diberkati Allah SWT, dikurniakan kebahagiaan serta kekal dalam suasana sakinah, mawaddah dan rahmah.
Program-program yang dilaksanakan itu mencerminkan komitmen berterusan beliau bersama UMNO Labuan dalam menyantuni masyarakat serta memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian. – UMNO Online
