Ahmad Zahid Ucap Selamat Hari Wesak, Seru Rakyat Terus Pelihara Keharmonian
KUALA LUMPUR, 31 Mei – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan Selamat Hari Wesak 2026 kepada seluruh penganut agama Buddha di Malaysia yang meraikan perayaan tersebut bersama keluarga dan insan tersayang.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, kepelbagaian agama, budaya dan tradisi yang menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat Malaysia terus mencerminkan semangat keharmonian serta sikap saling menghormati yang diamalkan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Menurut beliau, keunikan tersebut bukan sahaja membentuk identiti Malaysia sebagai sebuah negara majmuk, malah menjadi antara kekuatan serta tarikan negara di mata dunia.
“Semangat perpaduan dan saling menghormati yang telah lama menjadi amalan rakyat Malaysia perlu terus dipelihara demi memastikan keamanan dan keharmonian negara kekal terjamin,” katanya menerusi ucapan di laman Facebooknya sempena sambutan Hari Wesak 2026.
Ahmad Zahid turut berharap agar sambutan Hari Wesak tahun ini membawa kebahagiaan, kegembiraan serta keberkatan kepada semua penganut agama Buddha yang meraikannya. – UMNO Online
