Rekod 19 Majlis Kenduri Sehari, Dr Asyraf Terus Santuni Masyarakat Gerik

GERIK, 31 Mei – Jadual padat tidak menghalang Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki untuk terus mendekati rakyat apabila beliau menghadiri sebanyak 19 majlis kenduri dalam tempoh sehari di sekitar kawasan Gerik, semalam.

Program beliau bermula seawal pagi dengan menunaikan solat Subuh berjemaah bersama penduduk setempat di Masjid Al-Rahmaniah sebelum menikmati sarapan pagi dan beramah mesra bersama masyarakat kampung di kediaman Ketua UMNO Cawangan Kerunai, Cikgu Usop.

Beliau kemudiannya menghadiri Majlis Korban anjuran NGO MyFund Action dan MARA di Kampung Pahit Luar serta PPMS Bukit Buluh yang berlangsung dalam suasana penuh kekeluargaan bersama penduduk setempat.

Sepanjang hari, Dr Asyraf Wajdi turut memenuhi 19 undangan majlis kenduri perkahwinan, akikah dan Aidiladha di pelbagai lokasi termasuk Kuak Hulu, Kampung Air Panas, Selarong, Taman Tasek Permai, Kampung Tun Saban, Klian Intan, Air Musang, Rancangan Plang, Kampung Tersusun Jong, Kampung Kerunai, Batu 6, Bandariang, Kampung Bersia Lama dan Felda Bersia.

Pada sebelah petang, beliau turut meluangkan masa menghadiri perlawanan bola sepak persahabatan melibatkan pasukan Felda Bersia menentang anak rantau Gerik serta perlawanan bola jaring yang berlangsung di Padang Felda Bersia.

Menurut beliau, walaupun jadual yang dilalui amat padat dari satu lokasi ke satu lokasi, ia merupakan peluang terbaik untuk terus menyantuni masyarakat, mengeratkan hubungan silaturahim serta berkongsi kegembiraan sambutan Aidiladha bersama penduduk setempat.

“Program seperti ini memberi ruang untuk mendekati rakyat secara langsung serta memperkukuhkan ukhuwah dan semangat kekeluargaan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau berharap hubungan erat yang terjalin antara pemimpin dan masyarakat akan terus diperkukuhkan demi kesejahteraan serta kemajuan kawasan Gerik pada masa hadapan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO