Kestabilan Politik Asas Pembangunan Mampan Johor – Norshida

JOHOR BAHRU, 30 Mei – Pendekatan matang serta semangat muafakat yang dibawa Barisan Nasional (BN) Johor terus menjadi asas penting dalam memastikan kestabilan politik negeri, sekali gus menjamin pembangunan yang mampan dan masa depan Bangsa Johor yang lebih gemilang.

Naib Ketua Wanita UMNO Johor, Datuk Norshida Ibrahim berkata, kestabilan politik yang dinikmati Johor ketika ini membolehkan pelbagai agenda pembangunan dan kebajikan rakyat dilaksanakan secara lebih terancang dan berkesan.

Beliau berkata demikian mengulas pengumuman Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bahawa Konvensyen BN Johor akan diadakan pada 14 Jun depan sebagai platform memperkukuh tekad, kesatuan dan hala tuju perjuangan parti di peringkat negeri.

“Pendekatan matang dan semangat muafakat yang dibawa BN Johor membuktikan bahawa kestabilan politik adalah asas penting dalam menjamin pembangunan negeri yang mampan serta masa depan Bangsa Johor yang lebih gemilang,” katanya.

Terdahulu, Onn Hafiz memaklumkan bahawa keputusan menganjurkan konvensyen tersebut telah dicapai dalam Mesyuarat BN Johor yang berlangsung semalam.

Konvensyen itu dijangka menjadi medan penting bagi menyelaraskan gerak kerja parti, memperkukuh kesatuan serta merangka strategi menghadapi cabaran semasa demi memastikan Johor terus berada di landasan pembangunan yang progresif dan sejahtera. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO