Taman Teluk Danga Tarik 7,000 Pengunjung Pada Malam Pertama Pembukaan
JOHOR BAHRU, 30 Mei – Taman Teluk Danga menerima sambutan luar biasa daripada rakyat Johor apabila merekodkan kehadiran kira-kira 7,000 pengunjung pada malam pertama pembukaannya kepada orang ramai sejak 29 Mei lalu.
Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, jumlah tersebut direkodkan sehingga jam 9.30 malam dan dijangka meningkat kepada sekitar 10,000 pengunjung menjelang jam 11 malam.

Menurut beliau, sambutan memberangsangkan itu membuktikan keterujaan rakyat untuk menikmati sebuah ruang awam moden, berkualiti dan bertaraf antarabangsa yang kini menjadi milik bersama Bangsa Johor.
“Kejayaan ini menunjukkan rakyat amat menghargai penyediaan kemudahan rekreasi berkualiti yang mampu dinikmati oleh semua lapisan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Bandar Johor Bahru dan seluruh warga Majlis Bandaraya Johor Bahru atas komitmen serta usaha berterusan dalam merealisasikan pembangunan taman rekreasi berkenaan.
Taman Teluk Danga menawarkan pelbagai tarikan ikonik termasuk Sky Bridge yang memberikan pemandangan indah Selat Johor, Tiger Play, taman permainan kanak-kanak, Dry Water Play, Island Landscape serta boulevard santai yang menghijau.

Mohd Jafni berkata, pembangunan taman tersebut membuktikan komitmen Kerajaan Negeri Johor di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi, dalam memastikan hasil pembangunan negeri dapat dipulangkan semula kepada rakyat melalui penyediaan kemudahan awam yang berkualiti, selamat dan inklusif.
Beliau berharap Taman Teluk Danga akan terus menjadi kebanggaan Bangsa Johor serta muncul sebagai antara destinasi rekreasi utama dan tarikan pelancongan sempena Tahun Melawat Johor 2026. – UMNO Online
