Aidiladha Medan Perkukuh Ukhwah Masyarakat – Ab Hamid
KUANTAN, 30 Mei – Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Datuk Seri Ab Hamid Mohd Nazahar berkata sambutan Aidiladha bukan sekadar ibadah korban semata-mata, sebaliknya menjadi medan menyatukan hati masyarakat menerusi semangat ukhwah, kebersamaan dan kasih sayang sesama penduduk.
Menurut beliau, suasana harmoni jelas terpancar di Masjid Al Ghazali menerusi Program Korban yang berlangsung penuh semangat gotong-royong serta keikhlasan daripada masyarakat setempat.
“Aidiladha mengajar kita erti pengorbanan dan pada masa sama menyuburkan semangat perpaduan serta kebersamaan dalam masyarakat,” katanya ketika bersama penduduk memeriahkan sambutan berkenaan.
Pada sebelah malam, program Tahlil Sekampung serta Jamuan Hari Raya Aidiladha selepas solat Isyak turut menghimpunkan penduduk dalam suasana penuh mesra bagaikan sebuah keluarga besar yang erat dan saling melengkapi.
Beliau berkata semangat kebersamaan seperti itu perlu terus dipelihara bagi memperkukuh ukhuwah serta membawa kesejahteraan berpanjangan kepada seluruh masyarakat kampung.
Dalam pada itu, suasana penuh harmoni dan ukhwah turut mewarnai Masjid Al Hidayah menerusi Jamuan Makan Malam Kariah sempena Aidiladha yang berlangsung meriah malam tadi.
Beliau turut bersama meraikan masyarakat, beramah mesra serta menyantuni para kariah dalam suasana penuh kekeluargaan dan kebersamaan.
Menurut beliau lagi, Aidiladha bukan sahaja membawa pengertian pengorbanan, malah menjadi medan penting dalam mengeratkan silaturahim, menyemai kasih sayang serta memperkukuh hubungan antara institusi masjid dan masyarakat.
“Program-program seperti ini perlu diteruskan kerana ia menjadi platform terbaik untuk menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang,” ujarnya.
Beliau berharap semangat perpaduan dan kebersamaan yang dizahirkan menerusi program-program kemasyarakatan itu akan terus subur demi kesejahteraan ummah dan keharmonian komuniti setempat. – UMNO Online
