‘Tok Ajak’ Santuni Warga Telok Mas Sempena Aidiladha

KUALA LUMPUR, 30 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang juga Ketua UMNO Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman terus meluangkan masa turun padang menyantuni penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas sempena sambutan Aidiladha.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas berkata, Aidiladha bukan sekadar mengajar erti pengorbanan, malah turut menyemarakkan semangat kemasyarakatan dan perpaduan menerusi amalan gotong-royong dalam kalangan masyarakat.

Menurut beliau, program kenduri korban yang berlangsung di Warung Haji Bakar Ahmad, Kampung Pernu menjadi medan mengeratkan silaturahim serta memperkukuh hubungan antara pemimpin dan rakyat.

“Hari ini sekali lagi saya pusing dalam DUN untuk bersama orang Telok Mas yang melaksanakan ibadah korban.

“Aidiladha ini bukan sekadar mengajar kita erti pengorbanan tetapi juga semangat kemasyarakatan dalam bergotong-royong,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penduduk yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan termasuk mereka yang merewang, memasak dan menyediakan juadah untuk para tetamu.

Kehadiran Abdul Razak di beberapa lokasi ibadah korban sekitar Telok Mas turut mencerminkan komitmen beliau untuk terus mendekati rakyat serta memastikan hubungan erat bersama masyarakat setempat terus diperkukuhkan.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO