Wakil Rakyat BN Johor Utamakan Khidmat, Bukan Raih Populariti – Haslinda Salleh

KUALA LUMPUR, 29 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Haslinda Salleh menyelar sikap segelintir pihak yang gemar bermain persepsi dan menabur janji kosong kononnya mahu memperjuangkan nasib rakyat, sedangkan ketika diberi peluang mentadbir, rakyat terus dibebani dengan pelbagai kegagalan dan alasan demi alasan.

Haslinda yang juga Exco Wanita UMNO Malaysia menjelaskan, ianya jauh berbeza dengan Barisan Nasional (BN) Johor yang terus bekerja tanpa perlu menjerit sana sini demi meraih perhatian politik murahan.

“Wakil rakyat BN Johor sentiasa berkhidmat untuk rakyat, bukan sekadar janji, rakyat diutamakan dalam setiap gerak kerja dan tindakan demi memastikan kebajikan masyarakat terus terbela.

“Keutamaan sentiasa diberikan kepada isu rakyat termasuk kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan serta pembangunan infrastruktur yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat setempat.

“Kekuatan BN Johor bukan hanya terletak pada pengalaman mentadbir negeri, tetapi juga pada kesungguhan pemimpin dan jentera parti yang sentiasa turun padang mendengar denyut nadi rakyat,” katanya kepada UMNO Online.

Tambah beliau, pendekatan mendekati rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang menjadi asas kepada kestabilan serta keharmonian yang dinikmati Johor hari ini.

Beliau juga Ketua Penerangan Wanita UMNO Negeri Johor berkata, kepemimpinan BN Johor terus membuktikan komitmen dalam menjaga kebajikan rakyat melalui pelbagai inisiatif bantuan yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.

“Antara bukti jelas keprihatinan kerajaan negeri adalah pelaksanaan Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang diilhamkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bagi membantu rakyat yang berdepan tekanan kos sara hidup serta memerlukan bantuan segera.

“BKJ bukan sekadar bantuan bermusim atau retorik politik untuk meraih sokongan. Ia adalah bukti kerajaan BN Johor benar-benar memahami denyut nadi rakyat dan bertindak dengan solusi yang nyata.

“Ketika ada pihak hanya pandai bercakap, bermain persepsi dan menabur janji kosong, BN Johor memilih untuk bekerja, membantu dan menyelesaikan masalah rakyat secara terus,” katanya lagi.

Seterusnya kata Ketua Wanita UMNO Bahagian Labis, pemimpin BN Johor membuktikan bahawa kekuatan sebenar bukan hanya di media sosial atau pentas ceramah semata-mata, tetapi melalui tindakan, khidmat dan penyelesaian yang dirasai sendiri oleh rakyat di bawah.

“BN Johor tidak perlu menjual air liur setiap hari untuk nampak hebat. Kami bekerja, turun padang dan selesaikan masalah rakyat tanpa perlu berlakon menjadi hero,” tegasnya.

Beliau turut menyindir pihak tertentu yang terlalu sibuk menyerang lawan politik sehingga lupa tanggungjawab terhadap rakyat.

“Bila rakyat susah, mereka sibuk berpolitik. Bila rakyat marah, mereka mula cipta alasan. Tetapi BN Johor tetap konsisten membantu rakyat tanpa memilih kaum, agama atau kawasan,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, rakyat Johor mahukan kestabilan, kepimpinan yang matang serta wakil rakyat yang benar-benar hadir berkhidmat, bukannya pemimpin yang hanya muncul dengan janji manis setiap kali mahu undi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO