Jangan Angkuh Dengan Kuasa, BN Selamatkan Rakyat – Farhan Ahmad
KUALA LUMPUR, 29 Mei – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena menegaskan bahawa kenyataan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mengenai peranan penting Barisan Nasional (BN) dalam memastikan kestabilan politik negara selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu adalah fakta yang tidak boleh dipadam atau dinafikan oleh mana-mana pihak.
Ketuanya, Mohd Farhan Ahmad berkata, ketika negara berdepan kebuntuan politik dan ketidaktentuan yang meresahkan rakyat, BN tampil dengan keberanian, kematangan politik demi kepentingan negara menyahut titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) bagi mengelakkan kemelut politik berpanjangan yang boleh menjejaskan rakyat dan negara.
Menurutnya, tanpa sokongan BN ketika itu, Kerajaan Perpaduan tidak mungkin dapat dibentuk dan negara berisiko terjerumus dalam ketidaktentuan politik yang merugikan semua pihak.
“Tanpa sokongan BN ketika itu, Kerajaan Perpaduan tidak mungkin terbentuk dan kestabilan politik tidak dapat dipulihkan. Ini membuktikan bahawa BN sentiasa meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan, bukan kepentingan politik semata-mata.
“Jangan hanya mengungkit pendirian UMNO dan BN, seolah-olah melupakan hakikat bahawa BN telah menjadi faktor penentu dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan.
“BN telah membuktikan komitmen terhadap kestabilan negara. Maka Pakatan Harapan (PH) perlu berhenti bermain retorik dan mula menghargai peranan BN dalam memastikan Kerajaan Perpaduan dapat berfungsi dengan baik demi rakyat dan negara,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau turut membidas segelintir pemimpin PH yang dilihat semakin lupa diri dan gemar memainkan retorik politik seolah-olah BN tidak mempunyai peranan besar dalam pembentukan kerajaan hari ini.
“PH perlu belajar menghargai jasa dan pengorbanan BN. Jangan bila sudah berada dalam kerajaan, mula bercakap seolah-olah BN tidak penting. Jika tidak, sukar untuk kita membina masa depan yang lebih baik bersama.
Mengulas lanjut, beliau berkata tindakan PH di Sabah yang boleh bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) walaupun bertembung dengan BN Sabah membuktikan politik sentiasa berubah mengikut keadaan dan strategi semasa.
“Jangan pula dilupakan bahawa Dap dan PH Sarawak akan berlawan dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak. Ini membuktikan bahawa politik sentiasa berubah mengikut keadaan, dan setiap parti berhak menentukan hala tuju masing-masing.
“Oleh itu, jangan berfikiran sempit. Semua pihak perlu menghormati pendirian dan hala tuju politik masing-masing tanpa mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan hubungan dalam kerajaan,” tegasnya.
Beliau menegaskan bahawa UMNO mempunyai hak sepenuhnya untuk mempertimbangkan gerak kerja secara solo pada pilihan raya akan datang dan pendirian itu wajar dihormati semua pihak.
“UMNO berhak mempertimbangkan gerak kerja secara solo pada pilihan raya akan datang, dan pendirian ini adalah hak politik yang wajar dihormati,” tegasnya lagi. – UMNO Online
