Dr Asyraf Manfaat Aidiladha, Turun Padang Santuni Rakyat
KUALA LUMPUR, 29 Mei – Sambutan Aidiladha dimanfaatkan sepenuhnya Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki untuk turun padang ke Pasir Puteh dan Gerik bagi menyantuni masyarakat setempat menerusi pelbagai program kemasyarakatan.
Beliau berkata program secara santai yang dilaksana memberi peluang untuk mendekati rakyat selain mengeratkan ukhuwah bersama penduduk kampung dan golongan muda.
“Seharian hari ini bermula pagi ke Pasir Puteh bagi program ibadah korban di Dewan Undangan Negeri dalam Parlimen Pasir Puteh.
“Alhamdulillah, dapat berkongsi rezeki bersama masyarakat kampung serta dapat bersua muka dan bertanya khabar dengan mereka yang banyak membantu saya di Parlimen Pasir Puteh ini.
“Usai di Pasir Puteh, saya meneruskan perjalanan ke Gerik bagi memenuhi beberapa undangan kenduri di Kampung. Pahat, Kampung Plang, minum petang di kediaman Pak Long Zubir, Ketua UMNO Cawangan Tersusun Jong dan undangan kenduri di Kampung Air Panas, Pengkalan Hulu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Dr Asyraf kemudiannya berbesar hati meluangkan masa dalam sesi santai bersama anak muda anjuran Kelab Rakan Muda Pengkalan Hulu bertempat di Kroh Hotspring & Riverside.
Pada pertemuan tersebut, beliau meluahkan rasa teruja bersama anak muda yang baharu sahaja menerima tawaran melanjutkan pengajian.
“Teruja melihat ramai anak muda menerima tawaran melanjutkan pengajian di pelbagai institusi pengajian tinggi dan didoakan semoga terus berjaya dan menjadi kebanggaan keluarga.
“Kemudian ke Mini Stadium Pengkalan Hulu bagi perlawanan bola sepak persahabatan tiga penjuru antara pasukan Kuak Luar, Kuak Tengah dan Kuak Hulu.
“Semoga ukhuwah yang terbina ini terus diperkukuhkan, insya-Allah,” ujar beliau. – UMNO Online
