Ibadah Korban Jadi Medium Kukuhkan Ukhuwah Komuniti – Abdul Rahman
KUALA LUMPUR, 29 Mei – Sempena Hari Raya Aidiladha, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berbesar hati turun padang bersama-sama penduduk setempat di Masjid Saidina Ali, Kampung Tempoyang untuk melaksakan ibadah korban.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Lipis meluahkan keterujaan kerana suasana cukup meriah dengan semangat gotong-royong dan kerjasama yang ditunjukkan oleh penduduk serta sukarelawan yang hadir membantu sejak awal pagi.
“Suasana Aidiladha di sini memang cukup meriah dengan semangat gotong-royong dan kerjasama penduduk setempat.
“Tahun ini, saya sumbangkan dua ekor kerbau korban untuk diagihkan kepada penduduk serta golongan yang memerlukan agar nikmat Aidiladha dapat dirasai bersama.
“Lebih bermakna apabila ibadah korban kali ini turut dibantu oleh anak-anak saya bersama ahli-ahli dan staf UMNO Bahagian Lipis yang sama-sama turun padang sejak awal pagi tadi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Menurut beliau, program ibadah korban bukan sahaja menyemarakkan syiar Islam, malah menjadi platform terbaik untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan memupuk nilai kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
“Ada yang membantu melapah, memotong daging, mengangkat bahagian lembu dan menimbang untuk proses agihan kepada penduduk. Yang paling penting, semua rajin bekerja.
“Seronok tengok semua bekerjasama tanpa mengira usia. Anak-anak muda pun ramai turun membantu dan belajar sama-sama tentang semangat pengorbanan serta kerja berpasukan dalam komuniti. Sekali-sekala dengar juga bunyi “weh berat ni weh!” tapi tetap teruskan kerja sampai selesai.
“Bagi saya, inilah antara nilai paling indah setiap kali Aidiladha dapat berkumpul, bergurau sambil bekerja dan sama-sama berkongsi rezeki dengan masyarakat setempat,” ujar beliau. – UMNO Online
