Korban Perdana Pahang Semarak Semangat Ukhuwah, Penyatuan Ummah – Wan Rosdy
LIPIS, 28 Mei – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini menghadiri Majlis Perasmian Korban Perdana Peringkat Negeri Pahang yang berlangsung di perkarangan Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Tanjung Gahai, di sini.
Program berkenaan melibatkan penyertaan daripada 14 buah kampung di kawasan DUN Jelai dan berlangsung dalam suasana penuh semangat kebersamaan, gotong-royong serta ukhuwah dalam kalangan masyarakat setempat sempena sambutan Aidiladha.

Wan Rosdy berkata, ibadah korban bukan sekadar memenuhi tuntutan agama, malah membawa nilai besar dalam memperkukuh perpaduan dan keprihatinan sesama masyarakat.
“Ibadah korban bukan sahaja menzahirkan ketaatan kepada Allah SWT, malah menjadi simbol keprihatinan, pengorbanan serta penyatuan ummah,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Agama Islam Pahang selaku penganjur program serta EZ Qurban Sdn Bhd yang menjadi penyumbang utama bagi menjayakan program berkenaan.

Menurut beliau, kerjasama semua pihak termasuk penduduk kampung dan sukarelawan berjaya memastikan program berlangsung lancar serta memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
“Semoga ibadah korban ini diterima oleh Allah SWT dan terus menjadi medium memperkukuh hubungan silaturahim serta semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online
