KEDA Terus Jadi Pemangkin Transformasi Desa, Dekati Denyut Nadi Rakyat – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 28 Mei – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan ucapan Selamat Ulang Tahun ke-45 kepada Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) sambil menyifatkan agensi itu sebagai antara institusi penting dalam memacu pembangunan luar bandar dan kemajuan wilayah negara.
Menurut beliauyang juga Presiden UMNO, sejak penubuhannya pada tahun 1981, KEDA telah melalui perjalanan panjang yang penuh dengan pengorbanan dan kejayaan dalam mengubah landskap pembangunan desa di negeri Kedah.

Ahmad Zahid berkata, KEDA terus memainkan peranan sebagai “catalyst agent” dalam mempercepat transformasi desa secara holistik yang bukan sahaja merangkumi aspek pembangunan fizikal dan ekonomi, malah turut memberi perhatian kepada kesejahteraan rohani masyarakat luar bandar.
“Alhamdulillah, KEDA terus memainkan peranan sebagai ‘catalyst agent’ dalam mempercepat transformasi desa secara holistik meliputi aspek duniawi dan ukhrawi, demi kesejahteraan masyarakat desa,” katanya menerusi hantaran sempena ulang tahun penubuhan agensi itu hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa kekuatan sebenar KEDA terletak pada keikhlasan seluruh warga kerjanya yang sentiasa dekat dengan masyarakat desa dan memahami denyut nadi rakyat.
Dalam masa sama, Ahmad Zahid menyeru agar KEDA terus menjadi agensi yang cakna, responsif serta komited dalam memperjuangkan agenda pembangunan luar bandar demi memastikan kebajikan rakyat desa terus terbela.
“Kalau bukan kita yang terus bersama rakyat desa, siapa lagi?” katanya.
Beliau turut berharap agar KEDA terus dipermudahkan segala urusan dan kekal menjadi antara institusi utama dalam memperkukuh pembangunan desa serta wilayah negara pada masa hadapan. – UMNO Online
