Hari Arafah: Ahmad Zahid Seru Umat Islam Perbanyak Doa dan Muhasabah Diri

KUALA LUMPUR, 26 Mei – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru umat Islam agar menjadikan Hari Arafah sebagai medan mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan memperbanyakkan doa, zikir, istighfar serta amalan kebaikan.

Beliau berkata, Hari Arafah merupakan waktu terbaik untuk umat Islam memohon keampunan dan rahmat daripada Allah SWT sebagaimana yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW.

“Rasulullah SAW menyebut bahawa sebaik-baik doa adalah doa pada Hari Arafah. Marilah kita memperbanyakkan doa, zikir, istighfar dan amalan kebaikan mudah-mudahan Allah SWT mengampunkan dosa-dosa kita serta mengurniakan ketenangan dan rahmat dalam kehidupan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Dalam masa sama, beliau turut mendoakan kesejahteraan jemaah haji Malaysia yang sedang menunaikan ibadah di Tanah Suci agar dipermudahkan segala urusan dan memperoleh haji yang mabrur.

“Kepada seluruh umat Islam yang menunaikan ibadah haji, saya mendoakan agar segala ibadah dipermudahkan dan memperoleh haji yang mabrur,” katanya lagi.

Beliau juga menasihatkan orang ramai yang pulang ke kampung sempena sambutan Aidiladha supaya sentiasa berhati-hati di jalan raya dan memohon agar perjalanan mereka sentiasa dalam perlindungan Allah SWT.

Menurut beliau, Hari Arafah dan Aidiladha seharusnya menjadi titik untuk masyarakat terus memperbaiki diri serta memperkukuh hubungan sesama insan dengan penuh keikhlasan dan kasih sayang. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO