UMNO Perlu Pelopori Agenda AI Demi Masa Depan Melayu dan Bumiputera – Tengku Azman

KUALA LUMPUR, 25 Mei – UMNO perlu mempelopori agenda kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan orang Melayu dan Bumiputera tidak ketinggalan dalam arus perubahan ekonomi dunia yang semakin dipacu teknologi.

Ketua UMNO Bukit Bintang, Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin berkata, masih ramai masyarakat yang menganggap AI sekadar hiburan sedangkan teknologi tersebut kini sedang mengubah landskap pekerjaan secara drastik.

Menurut beliau, kelewatan dalam memahami dan menguasai AI boleh menyebabkan ramai kehilangan peluang pekerjaan apabila tugas manusia mula digantikan oleh automasi dan sistem pintar.

“Pada hari ini AI sudah mula mengambil alih pelbagai sektor pekerjaan seperti khidmat pelanggan, reka grafik dan media sosial, pekerjaan pejabat dan akaun serta bidang pengiklanan,” katanyaberkaitan hal terbabit.

Namun begitu, beliau menegaskan AI juga mampu menjadi peluang besar sekiranya dimanfaatkan dengan betul terutama untuk membantu peniaga kecil, pelajar dan usahawan meningkatkan produktiviti serta daya saing.

“Yang bahaya bukan AI, tetapi lebih bahaya jika kita masih menggunakan cara lama sedangkan dunia sudah berubah,” katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan bahawa kesedaran mengenai AI perlu dipertingkatkan kerana teknologi tersebut juga boleh menjadi cabaran besar kepada masyarakat sekiranya disalahgunakan.

Antara risiko yang dibangkitkan termasuk penyebaran fitnah digital yang semakin sukar dibezakan, penciptaan video dan suara palsu menerusi teknologi “deepfake”, serta serangan persepsi yang boleh berlaku tanpa henti sepanjang masa.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar UMNO memainkan peranan membantu masyarakat Melayu memahami dan menguasai teknologi AI supaya bangsa tersebut tidak sekadar menjadi pengguna teknologi, sebaliknya mampu menjadi pencipta dan peneraju ekonomi masa depan.

“Jangan nanti bangsa lain menjadi pencipta teknologi, sedangkan kita hanya menjadi pengguna. Lebih parah jika bangsa kita kehilangan pekerjaan dan terus ketinggalan,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO