Khidmat Bakti ADUN Kota Diteruskan, Fokus Agenda Kebajikan
KUALA LUMPUR, 25 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Suhaimi Aini meneruskan khidmat bakti di kawasan dengan menyantuni penduduk di kawasan.
Menerusi satu perkongsian di Facebook, beliau memaklumkan menziarahi sebuah keluarga yang terlibat dalam kemalangan beberapa minggu lalu.
“Selepas keluarga ini selesai rawatan dan pulang dari hospital, baru berkesempatan menziarahi Shikin bersama tiga beranak yang terlibat dalam kemalangan beberapa minggu lalu ketika dalam perjalanan menghantar anak ke sekolah.
“Keluarga ini telah saya janjikan bantuan sebaik mungkin dan insya-Allah akan terus dibantu mengikut keperluan mereka. Sebelum dibenarkan pulang ke rumah dari hospital Seremban , tiga buah katil juga telah siap disediakan bagi memberi keselesaan sepanjang proses pemulihan.
“Turut diziarahi uwan mereka yang juga kurang sihat dan baru sahaja keluar dari hospital. Semoga Allah SWT permudahkan segala urusan, diberikan kesembuhan buat yang sedang diuji serta dipermudahkan kehidupan seisi keluarga ini,” katanya.
Turut hadir pada ziarah tersebut kepimpinan UMNO Cawangan, Pegawai Kebajikan dan Pegawai Kemas Daerah Rembau.
Sementara itu menerusi perkongsian terbaharu, Suhaimi turut sama berbesar hati menziarahi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Chengkau Kampung Lada, Faizal Yassin yang terlibat dalam kemalangan motosikal baru-baru ini.
Menurut beliau, keadaan Faizal dilaporkan semakin baik meskipun masih menjalani proses pemulihan.
“Semoga diberikan kesembuhan yang cepat, dipermudahkan segala urusan serta terus kuat menghadapi ujian ini.
“Doa kami agar Saudara Faizal kembali sihat seperti sediakala,” ujar beliau. – UMNO Online
