Bantuan Kasih Johor Bukan Bahan Untuk Dipolitikkan – Mohd Jafni
JOHOR BAHRU, 25 Mei — Program Bantuan Kasih Johor tidak seharusnya dijadikan bahan politik sempit atau medan menyerang usaha kerajaan negeri membantu rakyat, tegas Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor.
Menurut beliau, kritikan berhubung isu “photo ops” ketika agihan bantuan kepada warga emas dilihat tidak adil kerana pendekatan sama turut dilakukan pemimpin lain namun tidak dipersoalkan.

“Teguran yang dibuat kononnya tidak manis kalau warga emas dijadikan bahan photo ops ketika agihan Bantuan Kasih Johor diberikan. Tetapi persoalan saya, kenapa apabila Kerajaan Pakatan Harapan di Negeri Sembilan turut memberi agihan kepada warga emas, siap bergambar dan dimuat naik ke media sosial, ia tidak pula dipersoalkan?” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, Bantuan Kasih Johor bukan hanya tertumpu kepada warga emas semata-mata, sebaliknya melibatkan pelbagai lapisan masyarakat yang memerlukan perhatian kerajaan negeri.
“Bantuan Kasih Johor lebih luas. Ia membantu pasangan baru berkahwin, suri rumah, OKU, penerima bantuan JKM, golongan miskin tegar, ibu tunggal, pesakit dialisis dan kanser, masyarakat Orang Asli, anak-anak yatim serta ramai lagi penerima manfaat,” katanya.
Mohd Jafni turut membidas pihak yang didakwa cuba mempolitikkan usaha kebajikan kerajaan negeri terutama ketika menghampiri musim pilihan raya.
“Kalau isu warga emas susah bergerak untuk hadir menerima bantuan, maka kes di Negeri Sembilan lebih tepat untuk ditegur. Tetapi apabila Johor melaksanakannya, ia dipersoalkan. Bila negeri ditadbir PH buat, semuanya senyap pula.
“Jadi nampaknya bukan soal photo ops, tetapi siapa yang buat photo ops itu. PH boleh, orang lain tidak boleh,” katanya lagi.
Tambah beliau, pendekatan kerajaan negeri Johor bukan sekadar menyerahkan bantuan semata-mata, tetapi turut memberi perhatian secara langsung terhadap masalah rakyat melalui pendekatan turun padang.
“Di Johor, bukan hanya memberikan agihan bantuan dan selesai begitu sahaja. Yang penting adalah perhatian kepada rakyat. Kita turun padang, dengar masalah rakyat dan cuba baiki sebaik mungkin.
“Janganlah apabila BN buat sesuatu, semuanya mahu dipolitikkan, apatah lagi bila semakin dekat dengan pilihan raya,” katanya lagi. – UMNO Online
