Laporan Kewangan: MB Kedah Jangan Terus Bohong Rakyat

KUALA LUMPUR, 25 Mei – Pengarah Komunikasi UMNO Negeri Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri membidas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor susulan dakwaan berhubung kedudukan kewangan negeri yang disifatkan bercanggah dengan dapatan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau menegaskan bahawa rakyat kini sudah celik dan tahu membezakan di antara ketelusan dan permainan persepsi.

“Saya percaya rakyat Negeri Kedah mula lihat dan faham. Apa yang buat rakyat kecewa bukan sebab isu ada defisit atau surplus. Rakyat bukan semua akauntan, tapi mereka tahu membezakan antara ketelusan dengan pembohongan permainan persepsi.

“Apabila angka yang nampak cantik dijaja siang dan malam… tetapi angka yang menunjukkan gambaran keseluruhan disembunyikan sampai orang lain dedahkan, rakyat mula tertanya-tanya… apa lagi yang tidak diceritakan?

“Dahulu mereka kata mereka lebih telus, bersih dan jujur daripada orang lain. Tetapi dalam isu laporan kewangan negeri pun masih pilih-pilih fakta ikut kesesuaian politik… di manakah ketelusan dan kejujuran?” katanya.

Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar berkata, kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan Negeri Kedah yang ditunjangi Pas akan terhakis apabila kepimpinan negeri lebih mengutamakan menjaga imej politik berbanding menjelaskan keadaan sebenar kedudukan kewangan negeri.

“Saya nak beritahu, kita bukan minta kerajaan jadi sempurna. Rakyat cuma mahu kerajaan berlaku jujur. Berlaku jujur dalam semua perkara, manis mahupun pahit. Sebab apabila kerajaan mula memilih fakta untuk menjaga imej politik, yang rosak bukan laporan kewangan… yang rosak ialah kepercayaan rakyat.

“Jangan ‘koyak’ apabila rakyat bertanya. Apa yang Sanusi patut jawab, kenapa rakyat terpaksa cari sendiri fakta yang cuba disembunyikan?

“Saya nak berpesan, bersedialah dengan jawapan MB seterusnya apabila dah ‘kantoi’ macam ini. ‘Saya tak tahu apa … saya tukang baca saja … bukan kerja MB nak tau semua … ada pihak nak burukan imej Kedah …’” katanya lagi.

Terdahulu, media melaporkan Muhammad Sanusi memperjelaskan pertikaian berhubung perbezaan data kewangan negeri berpunca daripada kaedah pelaporan berbeza antara laporan Kerajaan Negeri dan LKAN.

Beliau berkata, berdasarkan LKAN 2024, Kedah merekodkan defisit RM283.20 juta berbanding RM271.06 juta pada tahun 2023 selepas mengambil kira hasil negeri sebanyak RM769.53 juta berbanding jumlah keseluruhan perbelanjaan RM1,052.73 juta merangkumi belanja mengurus dan pembangunan.

Menurut beliau, angka hasil yang dilaporkan LKAN hanya melibatkan Akaun Hasil Disatukan dan tidak mengambil kira terimaan di bawah Kumpulan Wang Pembangunan serta Akaun Pembangunan Bekalan Air. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO