Demi Rakyat… Johor Pilih Politik Stabil, Matang Dan Berani – Norshida

JOHOR BAHRU, 25 Mei – Naib Ketua Wanita Johor merangkap Ketua UMNO Bahagian Segamat, Datuk Norshida Ibrahim menyifatkan landskap politik Johor hari ini semakin matang apabila rakyat mula menilai sesebuah kerajaan berdasarkan prestasi, kestabilan dan kemampuan mentadbir negeri secara konsisten.

Menurut beliau, dalam suasana politik negara yang sering berubah-ubah, Johor kini muncul sebagai antara negeri yang mempunyai hala tuju pentadbiran lebih jelas serta memberi fokus kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

“Johor memilih pendekatan yang lebih stabil, tenang dan fokus kepada pembangunan negeri berbanding terjebak dengan konflik politik yang berpanjangan,” katanya.

Beliau berkata, keputusan Barisan Nasional (BN) Johor untuk bersedia bertanding solo di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bukan sekadar strategi politik, tetapi membawa mesej bahawa mandat sebenar perlu dikembalikan kepada rakyat Johor.

“Langkah ini menunjukkan keyakinan kepimpinan Johor terhadap penerimaan rakyat terhadap prestasi kerajaan negeri hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menurutnya semakin mendapat perhatian rakyat kerana pendekatan lebih dekat dengan masyarakat serta agresif dalam membawa agenda pembangunan ekonomi negeri.

“Rakyat hari ini tidak lagi mahu mendengar retorik semata-mata. Mereka mahukan pemimpin yang bekerja, hadir ketika rakyat susah dan mampu membawa hasil yang boleh dirasai secara langsung,” katanya.

Tambah beliau, faktor itu menjadikan “Onn Hafiz Factor” semakin kuat dalam membentuk gelombang sokongan terhadap UMNO-Barisan Nasional di Johor.

Katanya lagi, menerusi agenda Maju Johor 2030, kerajaan negeri membawa visi jelas melibatkan pelaburan, peluang pekerjaan, pembangunan belia, pendidikan, infrastruktur serta kesejahteraan rakyat.

“Johor tidak lagi mahu hanya menjadi negeri transit ekonomi, sebaliknya mahu muncul sebagai kuasa ekonomi serantau yang stabil dan berdaya saing,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kestabilan politik bukan bermaksud menutup ruang demokrasi, sebaliknya menjadi asas penting dalam membina keyakinan pelabur serta memastikan agenda pembangunan dapat diteruskan tanpa gangguan perebutan kuasa.

“Rakyat hari ini tidak lagi hanya mahu melihat siapa paling kuat bercakap, tetapi siapa yang benar-benar mampu bekerja, membawa kestabilan dan menjaga masa depan negeri,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO