Suara Rakyat Didengar, Tindakan Segera Dilaksana Demi Kesejahteraan – Mohd Rafi
LABUAN, 25 Mei – Keprihatinan terhadap masalah rakyat terus menjadi keutamaan apabila pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) Labuan turun padang meninjau keadaan muara Sungai Rancha-Rancha Laut yang menjadi laluan utama para nelayan tempatan.
Lawatan tersebut diadakan susulan aduan dan keluhan penduduk yang dibangkitkan ketika Mesyuarat UMNO Cawangan Rancha-Rancha Laut baru-baru ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan berkata, isu berkenaan terus dibawa kepada pihak berkaitan bagi memastikan tindakan segera dapat dilaksanakan demi kepentingan rakyat setempat.
“Inilah semangat kerja yang kita mahukan iaitu suara rakyat didengar, masalah rakyat diangkat dan tindakan terus dilaksanakan. Apabila suara rakyat diberi perhatian, akhirnya rakyat juga yang menerima manfaatnya,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak JPS, JKR, Sekretariat Komuniti DMR dan UMNO Zon 7 yang menyelaras lawatan tersebut dengan baik.
Menurut beliau, tindakan pantas agensi kerajaan turun melihat sendiri keadaan sebenar di lapangan membuktikan komitmen kerajaan dalam menyelesaikan isu rakyat secara terus dan berkesan.
Dalam perkembangan lain, Mohd Rafi bersama pihak JKR dan JPS turut mengadakan lawatan ke kawasan banjir kilat di sekitar Bistari Warehouse, Kampung Patau-Patau 2 bagi meneliti sendiri masalah yang sering dihadapi penduduk serta peniaga di kawasan tersebut.
Hasil penelitian dan perbincangan di lokasi mendapati beberapa tindakan segera telah dikenal pasti bagi mengurangkan risiko banjir kilat terutama ketika hujan lebat.
Beliau berkata, pihak JKR dan JPS Labuan telah memulakan kerja-kerja berkaitan bagi memastikan aliran air lebih lancar serta keselamatan penduduk terus terjamin.
“Rakyat mahukan tindakan, bukan sekadar bercakap. Apa yang penting ialah masalah rakyat dapat diselesaikan dengan segera dan berkesan,” ujarnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat atas kerjasama dan komitmen dalam memastikan kesejahteraan rakyat Labuan terus terbela. – UMNO Online
