Ahmad Zahid Bangga Kejayaan KEMAS Raih 48 Pingat Kejohanan Kulinari Dunia

KUALA LUMPUR, 24 Mei – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan penghargaan kepada 49 Pemaju Masyarakat bidang masakan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang berjaya meraih 48 pingat pada Kejohanan Cef Dunia (WCC) 2026 yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir semalam di Johor Bahru.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata kejayaan pada kejohanan bertaraf antarabangsa yang menghimpunkan peserta dari lebih 40 negara itu merupakan pencapaian luar biasa yang wajar dibanggakan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Beliau turut merakamkan penghargaan
kepada semua peserta, tenaga pengajar, jurulatih serta warga KEMAS yang bertungkus-lumus membawa nama negara dengan penuh semangat dan dedikasi.

“Apa yang lebih membanggakan, kejayaan ini turut mengetengahkan identiti kulinari tempatan ke peringkat dunia menerusi kreativiti dan kemahiran dimiliki warga KEMAS.

“Daripada masakan tradisional hingga seni kulinari moden, semuanya berjaya dipersembahkan dengan cemerlang sehingga mendapat pengiktirafan antarabangsa,” katanya.

Ahmad Zahid berkata kejayaan itu
membuktikan institusi latihan kemahiran di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) terus relevan dalam melahirkan bakat berkemahiran tinggi yang mampu bersaing di pentas global.

“Saya percaya pencapaian ini akan
menjadikan kualiti Pemaju Masyarakat bidang masakan KEMAS lebih dipandang tinggi dan menarik lebih ramai anak muda melihat bidang kemahiran sebagai laluan masa depan yang lebih jauh.

“Teruskan melakar kejayaan dan
mengharumkan nama Malaysia di persada dunia,” katanya. – BERNAMA

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO