Ahmad Zahid Sifatkan Kejuaraan Sepak Takraw Hadiah Bermakna Buat Negara
KUALA LUMPUR, 24 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan ucapan tahniah kepada skuad sepak takraw negara atas kejayaan membanggakan muncul juara dunia acara regu berpasukan dalam Piala Dunia Sepak Takraw 2026.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata kemenangan tersebut merupakan pencapaian amat bermakna buat negara selepas Malaysia berjaya menewaskan Thailand.
“Alhamdulillah, kemenangan akhirnya menjadi milik Malaysia.
“Tahniah saya ucapkan kepada skuad sepak takraw negara yang berjaya muncul juara dunia acara regu berpasukan selepas menewaskan musuh tradisi, Thailand dalam aksi final Piala Dunia Sepak Takraw 2026 malam tadi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Ahmad Zahid turut menzahirkan penghargaan kepada barisan kejurulatihan serta semua pihak di belakang tabir yang bersama-sama menyumbang kepada kejayaan bersejarah tersebut.
Katanya lagi kemenangan itu bukan sahaja membanggakan dunia sukan tanah air, malah membuktikan semangat juang serta kemampuan atlet Malaysia untuk terus bersaing dan cemerlang di pentas antarabangsa.
“Lebih membanggakan, semangat luar biasa lebih 3,000 penyokong di Stadium Titiwangsa turut menjadi pembakar semangat buat pasukan negara sepanjang perlawanan berlangsung.
“Saya tahu ia bukan kemenangan yang mudah.. Well done, boys! Terima kasih kepada semua termasuk pasukan di belakang tabir yang bersama-sama mencipta kejayaan bermakna ini,” ujar beliau. – UMNO Online
