Dr Asyraf Tempelak Pihak Persoal Fungsi MARA, Tegaskan Perkara 153
KUALA LUMPUR, 24 Mei – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menempelak segelintir pihak yang didakwa masih gagal memahami peranan sebenar institusi itu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata mereka berulang kali memperlekeh dan menafikan fungsi MARA termasuk memandang rendah usaha institusi itu dalam memperkasa serta memprofesionalkan golongan huffaz.
“Ada lagi yang tidak boleh menerima hakikat MARA sebagaimana termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
“Mulanya saya malas je nak jawab. Tapi sudah beberapa kali beliau memperlekehkan dan menafikan peranan MARA, termasuk memandang rendah perancangan MARA untuk memprofesionalkan golongan Huffaz,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.
Dr Asyraf dalam pada itu turut sama memaklumkan bahawa beliau akan terus mempertahankan amanah yang diberikan demi memastikan hak keistimewaan orang Melayu serta peribumi Sabah dan Sarawak kekal terpelihara.
“Minta maaf, selagi saya diberikan amanah sebagai Pengerusi MARA, hak keistimewaan orang Melayu dan peribumi Sabah dan Sarawak akan tetap dipertahankan sebagaimana termaktub dalam Perkara 153,” ujar beliau. – UMNO Online
