Pak Mus Santuni Warga Palong Menerusi Program Cenderahati Sejambak Kasih
KUALA LUMPUR, 23 Mei – Komitmen berterusan dalam menyantuni rakyat diteruskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong, Datuk Mustapha Nagoor apabila seramai 700 penduduk menerima Cenderahati Sejambak Kasih dalam satu program khas yang diadakan bagi menghargai masyarakat setempat.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jempol berkata, program berkenaan melibatkan penerima daripada kalangan keluarga dan golongan belia.
“Alhamdulillah, hari ini seramai 700 penerima yang terdiri daripada keluarga serta golongan belia menerima Cenderahati Sejambak Kasih daripada Pak Mus.
“Program ini juga menjadi satu inisiatif baharu daripada Pak Mus khusus buat anak-anak muda di Palong menerusi Cenderahati Sejambak Kasih Belia sebagai tanda penghargaan dan kasih sayang kepada golongan belia yang sentiasa menjadi aset penting masyarakat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Mustapha berkata, sambutan positif serta keceriaan para penerima memberi dorongan untuk terus melaksanakan program yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Jempol yang membantu menjayakan program berkenaan.
“Pak Mus sendiri dapat melihat keceriaan yang jelas terpancar pada wajah para penerima, dan itulah yang menjadi semangat untuk terus membantu rakyat di DUN Palong.
“Semoga sedikit sumbangan ini mampu memberi kegembiraan dan manfaat kepada semua penerima. Insya-Allah, Pak Mus akan terus bersama rakyat dalam apa jua keadaan.
“Bagi mereka yang masih belum menerima cenderahati ini, insya-Allah kita akan bertemu lagi di siri-siri seterusnya,” ujar beliau. – UMNO Online
