Mohamed Khaled Bertemu MKE, Bincang Potensi Malaysia Sebagai Hab Sokongan Pertahanan Serantau
KUALA LUMPUR, 22 Mei – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah mengadakan pertemuan dengan syarikat pertahanan Republik Turkiye, Makine ve Kimya Endüstrisi A.Ş. (MKE) untuk membincangkan potensi Malaysia sebagai hab sokongan pertahanan serantau.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau memaklumkan bahawa pertemuan tersebut diadakan sempena lawatan kerja di Istanbul, pada Jumaat.

“Mengadakan pertemuan dengan syarikat pertahanan Republik Turkiye, MKE yang diketuai Mr. Tolga Çelik, Timbalan Pengurus Besar MKE, semasa lawatan kerja di Istanbul.
“Baru-baru ini semasa Defense Service Asia & National Security Asia (DSA) 2026 di Kuala Lumpur, MKE turut memeterai perjanjian berkaitan pembangunan fasiliti di Melaka untuk memperkukuh industri pertahanan tempatan melalui pengeluaran komponen, pemasangan dan pemindahan teknologi.
“Pertemuan hari ini turut membincangkan potensi Malaysia sebagai hab sokongan pertahanan serantau, selain kerjasama strategik jangka panjang, pemindahan teknologi dan perkongsian industri pertahanan antara kedua-dua negara,” katanya.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, sebarang bentuk kerjasama perlulah memberi nilai tambah melalui projek usaha sama.

“Bagi Malaysia, sebarang kerjasama mesti memberi nilai tambah melalui projek usaha sama, peningkatan komponen tempatan dan pemindahan teknologi yang membolehkan syarikat Malaysia menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global.
“Semoga pertemuan ini membuka ruang kerjasama lebih kukuh antara Malaysia dan Turkiye, sekaligus menyokong pembangunan industri pertahanan negara yang lebih berdaya saing, berdikari dan menuju ke arah ‘self-reliance’,” katanya lagi.
Mohamed Khaled tiba di Istanbul, Republik Turkiye pada Rabu bagi mengadakan lawatan kerja yang merangkumi pertemuan dengan beberapa syarikat pertahanan negara itu dalam usaha memperkukuh kerjasama industri pertahanan termasuk penglibatan syarikat tempatan.
Beliau juga dijadualkan akan menghadiri Majlis Penamaan dan Pelancaran Kapal Pertama Littoral Mission Ship Batch 2 (LMSB2) yang sedang dibina oleh STM, syarikat teknologi pertahanan dan kejuruteraan dari Republik Turkiye. – UMNO Online
